Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond Lee: Majoriti pembeli kali pertama guna CPF bagi ansuran bulanan HDB

Aug 8, 2024 | 1:41 PM
Kebanyakan flat jualan semula HDB masih kekal dalam jangkauan rakyat Singapura kerana urus niaga dengan harga tinggi hanya sebahagian kecil daripada semua transaksi.
Kebanyakan flat jualan semula HDB masih kekal dalam jangkauan rakyat Singapura kerana urus niaga dengan harga tinggi hanya sebahagian kecil daripada semua transaksi. - Foto ZAOBAO

Majoriti pembeli kali pertama yang mengambil kunci rumah flat jualan semula mereka pada 2023 boleh membayar ansuran pinjaman bulanan mereka gunakan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dengan tunai yang minimum, malahan ada yang tanpa tunai, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Beliau menjelaskan pada 6 Ogos ketika menangani kebimbangan mengenai kemampuan perumahan awam, bahawa majoriti flat jualan semula HDB juga kekal dalam jangkauan rakyat Singapura.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Parlimen daripada Anggota Parlimen, Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), lapor akhbar The Straits Times.

Encik Lee menegaskan bahawa sekitar lapan daripada 10 keluarga pembeli kali pertama yang mengambil kunci rumah flat jualan semula mereka pada 2023 boleh membayar ansuran pinjaman bulanan mereka menggunakan CPF dengan tunai yang minimum, malahan ada yang tanpa tunai.

Urus niaga dengan harga tinggi terus membentuk minoriti kecil daripada jumlah transaksi jualan semula, kata Encik Lee.

Satu pertiga daripadanya ialah bagi flat maisonet dan jumbo, yang bekalannya terhad dan lebih besar daripada kebanyakan flat lain, tambahnya.

Lebih 70 peratus daripada baki unit tersebut adalah flat lima bilik yang terletak di lokasi yang baik, di tingkat tinggi atau mempunyai baki pajakan yang sangat lama, katanya.

Sementara itu, flat empat bilik dan lebih kecil yang dijual pada harga yang lebih tinggi membentuk hanya 0.5 peratus daripada semua flat jenis itu yang dijual dalam tempoh dua tahun lepas, katanya.

Lebih separuh daripada flat-flat ini juga mempunyai ciri-ciri yang sangat menarik, termasuk lokasinya di dalam atau berhampiran pusat bandar, berada di tingkat yang tinggi atau mempunyai pemandangan yang baik.

Encik Saktiandi bertanya sama ada pemerintah sedang meneliti isu kemampuan perumahan selepas rekod harga jualan semula HDB dipecahkan tiga kali dalam tempoh tiga bulan lalu.

Pada Julai, sebuah flat lima bilik di Margaret Drive di Queenstown dijual pada sekitar $1.73 juta, memecahkan rekod flat jualan semula HDB paling mahal di Singapura.

Ini mengatasi rekod terdahulu yang ditetapkan oleh sebuah unit lima bilik di Boon Tiong Road yang dijual pada harga $1.59 juta pada April, dan satu lagi unit sedemikian di City Vue @ Henderson, yang juga mencecah harga sekitar $1.59 juta pada Jun.

Encik Saktiandi juga bertanya sama ada model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) menaikkan harga jualan semula flat bukan PLH di lokasi pilihan, dan jika pemerintah sedang mempertimbangkan untuk mengenakan had harga transaksi HDB.

Encik Lee menegaskan bahawa sejak model PLH dilancarkan pada 2021, tiada bukti konklusif bahawa ini telah menaikkan harga jualan semula HDB di bandar-bandar tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg