Pinjaman maksimum yang boleh diambil pembeli rumah daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan diketatkan mulai 20 Ogos, kata HDB, antara langkah untuk menstabilkan harga flat dalam pasaran jualan semula.
HDB juga akan menyediakan lebih banyak sokongan kewangan untuk pembeli flat kali pertama dalam golongan berpendapatan rendah hingga sederhana, dengan meningkatkan Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) kepada sehingga $120,000 untuk keluarga dan $60,000 bagi mereka yang bujang.
Pada masa ini, EHG memberi geran maksimum sebanyak $80,000 bagi keluarga dan $40,000 kepada mereka yang bujang membeli flat baru atau jualan semula buat kali pertama.
HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengumumkan perubahan ini dalam satu kenyataan pada lewat malam 19 Ogos, dalam apa yang akan menjadi pusingan keempat langkah penyejukan hartanah sejak Disember 2021.
Had pinjaman kepada nilai untuk pinjaman perumahan HDB akan diketatkan daripada 80 peratus kepada 75 peratus.
Ini bermakna pembeli akan dibenarkan meminjam sehingga 75 peratus daripada nilai flat berbanding 80 peratus sebelum ini.
Ini menjadikan had pinjaman HDB sejajar dengan gadai janji yang diberikan institusi kewangan, yang kekal tidak berubah pada 75 peratus.
“Memandangkan permintaan yang berterusan, kukuh, dan luas untuk flat jualan semula HDB, langkah ini akan membantu menyejukkan pasaran dan menggalak peminjaman berhemat, sekali gus menjadikan perumahan lebih mampu milik untuk pembeli rumah kali pertama bagi mereka yang berpendapatan rendah hingga sederhana,” kata HDB dan MND dalam kenyataan itu.
Semasa ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong telah menangani kebimbangan mengenai kemampuan perumahan, menunjukkan usaha pemerintah untuk meningkatkan bekalan flat demi mengurangkan harga.
Beliau juga mengumumkan bahawa EHG akan dinaikkan untuk membantu pembeli rumah kali pertama – terutama mereka daripada golongan berpendapatan rendah.
Dalam kenyataannya, pemerintah berkata pusingan awal langkah penyejukan dan usaha meningkatkan bekalan flat telah membantu menyederhanakan kenaikan harga jualan semula HDB.
Ia menunjukkan bahawa harga jualan semula HDB meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2023, turun dengan ketara daripada 10.4 peratus pada 2022.
Tetapi ia juga berkata harga jualan semula terus meningkat lebih daripada 4 peratus pada separuh pertama 2024, mengaitkan ini kepada “permintaan yang kukuh dan meluas, ditambah dengan beberapa bekalan yang diketatkan, sedang sedikit flat mencapai tempoh pendudukan minimum tahun ini”.
Had pinjaman yang disemak semula akan digunakan untuk melengkapkan permohonan jualan semula yang diterima oleh HDB pada atau selepas 20 Ogos, dan permohonan untuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mulai pelancaran pada Oktober akan datang dan seterusnya.
Pada 19 Ogos, HDB dan MND menegaskan bahawa kesan had pinjaman ke atas pembeli kali pertama, terutama mereka daripada isi rumah berpendapatan rendah, akan diredakan apabila mereka menerima geran perumahan yang besar.
Sebagai contoh, keluarga kali pertama yang layak membeli flat jualan semula berpotensi menerima sehingga $230,000 dalam bentuk geran perumahan.
Ini termasuk EHG yang disemak sehingga $120,000, Geran Perumahan CPF sehingga $80,000 dan Geran Perumahan Berdekatan (PHG) sehingga $30,000.
Sementara itu, golongan bujang yang layak membeli flat jualan semula buat kali pertama boleh menerima sehingga $115,000 dalam bentuk geran perumahan.
Ini termasuk EHG yang disemak sehingga $60,000, Geran Perumahan CPF sehingga $40,000 dan PHG sehingga $15,000.
Bergantung pada pendapatan isi rumah bulanan, kenaikan EHG akan berkisar antara $5,000 hingga $40,000 untuk keluarga, dan daripada $2,500 hingga $20,000 untuk mereka yang bujang.
HDB dan MND berkata pembeli rumah yang telah menerima surat Kelayakan Flat HDB (HFE) – yang menunjukkan kelayakan mereka untuk membeli flat dan menerima geran, serta pilihan pembiayaan – tidak perlu memohon bagi yang baru.
Surat tersebut akan dikemas kini untuk menggambarkan jumlah EHG baru.
HDB dan MND berkata flat jualan semula kekal mampu milik kepada kebanyakan pembeli rumah, memetik bagaimana lapan daripada 10 keluarga, kali pertama membeli flat tersebut pada 2023 menggunakan 25 peratus atau kurang daripada pendapatan isi rumah bulanan mereka bagi membayar pinjaman HDB.
Ia berkata pembeli sedemikian boleh membayar ansuran bulanan mereka melalui Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka, dengan sedikit atau tiada perbelanjaan tunai.
“Flat HDB yang dijual pada harga yang sangat tinggi hanya membentuk minoriti yang sangat kecil daripada jumlah urus niaga jualan semula,” kata pihak berkuasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg