Ketua pertahanan Amerika Syarikat dan China telah bertemu di luar forum keselamatan serantau di Singapura, pertemuan peribadi pertama di peringkat itu dalam tempoh 18 bulan.
Pertemuan pada tengah hari 31 Mei itu diadakan beberapa hari selepas China menghantar kapal perang dan jet pejuang berhampiran Taiwan, satu punca ketegangan geopolitik antara dua kuasa besar itu.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin dan Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun – dilantik memegang jawatan tersebut lima bulan lalu – memulakan pertemuan mereka pada 12.50 tengah hari di Hotel Shangri-La.
Mereka bertemu menjelang Dialog Shangri-La yang bermula pada malam 31 Mei.
Kedua-dua mereka sebelum ini bercakap melalui telefon pada April lalu bagi membincangkan isu-isu yang menjadi perbalahan termasuk Laut China Selatan dan Selat Taiwan, lapor The Straits Times (ST).
Pertemuan 31 Mei di Singapura itu merealisasikan perjanjian antara Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, di San Francisco pada November 2023 untuk menyambung semula perhubungan ketenteraan, yang terputus selepas Speaker Dewan Rakyat Amerika yang lalu, Cik Nancy Pelosi, melawat Taiwan pada Ogos 2022.
Sejak itu, kedua-dua negara telah menekankan keperluan bagi perhubungan peringkat pemimpin tentera untuk mengelakkan konflik yang tidak diingini daripada berlaku.
Namun, hubungan antara dua kuasa besar itu terus goyah di sebalik tindakan Amerika mengharamkan TikTok milik China selain menyalahkan China kerana melambakkan kenderaan elektrik di pasaran.
China pula dilihat menyokong Russia dalam perangnya menentang Ukraine, selain isu Selat Taiwan yang menjadi isu panas antara dua negara itu.
Taiwan merupakan sekutu Amerika namun dituntut China sebagai wilayahnya. Ketegangan merentas selat meningkat sejak 2016 apabila Parti Progresif Demokratik berkuasa dan ketegangan semakin meningkat selepas pelantikan presiden baru Taiwan, Encik Lai Ching-te, pada 20 Mei, yang dilihat China sebagai “pemisah berbahaya”.
Di Laut China Selatan pula, kapal Filipina – sekutu Amerika – dan China telah terlibat dalam pertikaian berterusan melibatkan kawasan terumbu karang di perairan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan China yang menghadiri Dialog Shangri-La 2023, Jeneral Li Shangfu, telah menolak pelawaan Encik Austin untuk bertemu pada ketika itu atas alasan Amerika tidak menghapuskan sekatan yang dikenakan ke atasnya.
Jeneral Li kemudian disingkirkan pada Oktober 2023 dengan Encik Dong, yang dahulunya ketua tentera laut, menggantikan Jeneral Li sebagai menteri pertahanan pada Disember 2023.
Dialog Shangri-La di sini berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun dan dianjurkan Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik (IISS) yang berpangkalan di London.
Ia dihadiri pemimpin dunia, menteri pertahanan, ketua pasukan pertahanan, pegawai kanan dan ahli akademik dari 45 negara.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky dijangka menghadiri persidangan ini, menurut enam sumber yang enggan dedahkan identiti mereka, sedang Ukraine berhadapan dengan serangan baru dua tahun selepas pencerobohan tentera Russia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg