Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 1,000 pelajar boleh dapat bantuan Dana Wang Saku Sekolah ST

Oct 4, 2024 | 4:50 PM
Pengasas dan ketua eksekutif Kumpulan MES, Encik Mohamed Abdul Jaleel Muthumaricar S M (kanan), menyampaikan cek kepada editor ST, Encik Jaime Ho, di majlis  penghargaan di SPH News Center pada 4 Oktober.
Pengasas dan ketua eksekutif Kumpulan MES, Encik Mohamed Abdul Jaleel Muthumaricar S M (kanan), menyampaikan cek kepada editor ST, Encik Jaime Ho, di majlis penghargaan di SPH News Center pada 4 Oktober. - Foto ST

Lebih 1,000 pelajar boleh meraih manfaat daripada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) kerana kriteria kelayakannya kini lebih inklusif mulai 4 Oktober, lapor The Straits Times.

Pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) Kementerian Pendidikan dan bantuan ComCare akan secara automatik layak menerima bantuan tersebut.

Menyatakan hal itu, pengerusi STSPMF, Encik Jaime Ho, menambah bahawa para pelajar juga tidak perlu menyediakan dokumen sokongan apabila memohon.

Menurutnya, kriteria kelayakan jenis perumahan flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau lebih kecil untuk melayakkan diri akan ditiadakan.

Bahkan, agensi kini boleh mengemukakan permohonan untuk pelajar menerima sokongan sehingga 12 bulan, berbanding enam bulan sebelum ini.

Encik Ho, yang merupakan editor The Straits Times, mengumumkan perubahan tersebut di majlis makan tengah hari dan penghargaan tahunan STSPMF di SPH News Centre di Toa Payoh pada 4 Oktober.

Majlis itu bertujuan mengucapkan terima kasih kepada penderma dana, rakan kongsi, agensi penyaluran dan sekolah yang telah menyokongnya.

“Dengan perubahan ini, kami menganggarkan kira-kira 15 peratus lagi pelajar boleh mengakses dana kami,” kata Encik Ho.

Pada 2023, dana itu membantu kira-kira 8,000 pelajar.

STSPMF telah dimulakan pada 2000 oleh The Straits Times untuk membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah – mereka yang mempunyai pendapatan kasar bulanan isi rumah per kapita kurang daripada $750 – melalui sekolah.

Murid sekolah rendah menerima $65 sebulan, pelajar sekolah menengah ($100 sebulan) serta pelajar Institut Pendidikan Teknikal, maktab rendah dan politeknik ($125 sebulan).

Sehingga kini, dana itu telah membantu lebih 220,000 pelajar dan mengagihkan lebih $100 juta.

Encik Ho berkata dana itu akan menawarkan geran khas sekali sebanyak $100 kepada setiap penerima pada 2024 untuk menyokong perbelanjaan pendidikan mereka.

Kira-kira 7,500 pelajar dijangka mendapat manfaat daripada geran ini, tambahnya.

Di majlis itu, ahli perniagaan Encik Mohamed Abdul Jaleel, pengasas dan ketua eksekutif Kumpulan MES, telah menderma $500,000 kepada dana tersebut.

Pada 2023, Encik Jaleel menderma jumlah yang sama kepada STSPMF, dan sejak 2010, beliau telah menyumbang kira-kira $6 juta.

Tanisha Ganeson, 15 tahun, pelajar menengah tiga Sekolah Menengah Crest yang menerima dana itu kurang daripada setahun, menyatakan dia sudah melihat kesannya terhadap kehidupannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg