Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lee Wei Ling, anak perempuan Lee Kuan Yew, meninggal dunia

Oct 9, 2024 | 5:35 PM
Berita kematian Dr Lee Wei Ling diumumkan adik lelakinya, Encik Lee Hsien Yang, dalam satu catatan Facebook pada 5.50 pagi 9 Oktober.
Berita kematian Dr Lee Wei Ling diumumkan adik lelakinya, Encik Lee Hsien Yang, dalam satu catatan Facebook pada 5.50 pagi 9 Oktober. - Foto fail

Dr Lee Wei Ling, anak perempuan Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, telah meninggal dunia pada usia 69 tahun, empat tahun selepas disahkan menghidap penyakit otak degeneratif yang jarang berlaku.

Berita kematian beliau diumumkan adiknya, Encik Lee Hsien Yang, dalam satu catatan Facebook pada 5.50 pagi 9 Oktober.

Dr Lee, anak kedua dalam tiga beradik, juga merupakan adik mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang kini Menteri Kanan.

Menyingkap kenangan bersama Dr Lee, yang tiga tahun lebih muda dari beliau, SM Lee menyifatkan adik perempuannya itu sebagai seorang pejuang, sambil menambah bahawa personaliti dan perwatakan “Ling” kekal tidak berubah sepanjang hayatnya.

“Beliau sangat setia kepada rakan-rakannya, amat bersimpati dengan golongan yang lebih lemah, dan akan bergerak secara aktif untuk melakukan sesuatu apabila beliau melihat ketidakadilan, atau mengesyaki ada kesalahan yang berlaku. Beliau seorang pejuang,” kata SM Lee dalam catatan Facebook.

Dr Lee dilahirkan pada 7 Januari 1955 dan merupakan anak kedua serta satu-satunya anak perempuan Encik Lee Kuan Yew dan Cik Kwa Geok Choo.

Seorang pakar saraf yang mengetuai Institut Sains Saraf Nasional sebagai pengarah dari 2004 hingga 2014, Dr Lee disahkan menghidapi penyakit palsi supranuklear progresif pada 2020.

Keadaan tersebut menjejas pergerakan fizikal, berjalan, pengimbangan badan dan pergerakan mata dan akhirnya keupayaan menelan, serta boleh membawa kepada komplikasi serius seperti radang paru-paru.

Dr Lee Wei Ling dilahirkan pada 7 Januari 1955 dan merupakan anak kedua dalam tiga beradik serta satu-satunya anak perempuan Encik Lee Kuan Yew dan Cik Kwa Geok Choo. Abang beliau ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan adiknya Encik Lee Hsien Yang.
Dr Lee Wei Ling dilahirkan pada 7 Januari 1955 dan merupakan anak kedua dalam tiga beradik serta satu-satunya anak perempuan Encik Lee Kuan Yew dan Cik Kwa Geok Choo. Abang beliau ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan adiknya Encik Lee Hsien Yang. - Foto ihsan keluarga Lee

Dr Lee telah mengumumkan diagnosis beliau itu dalam satu catatan Facebook pada 8 Ogos 2020, dan sifatkannya sebagai sejenis “penyakit otak yang agak berbahaya” yang akan mengakibatkan kematian “bagi mereka yang bernasib baik”.

Pencapaian Dr Lee telah dirakam dalam laporan akhbar sepanjang bertahun-tahun lalu.

Pada 1970, beliau menjadi antara rakyat Singapura termuda memperoleh tali pinggang hitam dalam karate.

Dr Lee juga muncul sebagai pelajar terbaik kelasnya tahun demi tahun dan dianugerahi Biasiswa Presiden pada 1973.

Mengumumkan kematian Dr Lee di Facebook, Encik Lee Hsien Yang berkata kakak beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah, dan butiran lanjut mengenai persemadian beliau akan diumumkan tidak lama lagi.

Encik Lee juga memohon agar orang ramai tidak menghantar bunga, dan sebaliknya memberikan derma kepada badan amal seperti Canossa Mission Singapore, Parkinson Society Singapore and Total Well-Being SG, yang lebih bermakna untuk Dr Lee.

“Semasa persemadian bapa kami pada 2015, Ling mengakhiri ucapan sanjungan beliau dengan berkata ‘Saya tidak boleh putus asa (dan menangis), saya seorang wanita Hakka.’

“Ling, saya kurang tabah daripada anda,” tulis Encik Lee di Facebook.

Dr Lee Wei Ling muncul sebagai pelajar terulung dalam kelasnya di Universiti Singapura - kini Universiti Nasional Singapura (NUS) - sebelum menjadi pakar sistem saraf kanak-kanak, dengan pengkhususan dalam epilepsi. Beliau mengetuai Institut Sains Saraf Nasional sebagai pengarah dari 2004 hingga 2014.
Dr Lee Wei Ling muncul sebagai pelajar terulung dalam kelasnya di Universiti Singapura - kini Universiti Nasional Singapura (NUS) - sebelum menjadi pakar sistem saraf kanak-kanak, dengan pengkhususan dalam epilepsi. Beliau mengetuai Institut Sains Saraf Nasional sebagai pengarah dari 2004 hingga 2014. - Foto fail

SM Lee pula berkongsi bahawa mendiang Dr Lee seorang pencinta haiwan dan pada awalnya bercita-cita menjadi doktor haiwan.

Namun, setelah dinasihati oleh ibu bapanya supaya tidak menjadi doktor haiwan, beliau sebaliknya menceburi bidang perubatan dan muncul sebagai pelajar terulung dalam kelasnya di Universiti Singapura – kini Universiti Nasional Singapura (NUS) – sebelum menjadi pakar sistem saraf kanak-kanak, dengan pengkhususan dalam epilepsi.

“Beliau membawa keamatan dan komitmen yang sama seperti beliau lakukan dalam segala-galanya dalam perubatan, dan membina ikatan rapat dengan pesakitnya, yang kebanyakannya dirawat beliau selama bertahun-tahun.

“Beliau juga doktor dalam keluarga, yang selalu kami rujuk apabila timbul masalah perubatan, sama ada besar atau kecil,” kata SM Lee.

Mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Lee di Facebook, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Dr Lee telah mendedikasikan hidupnya kepada perubatan sebagai pakar sistem saraf kanak-kanak, pakar epilepsi, dan ketua jabatan sains saraf Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

“Beliau membantu menubuhkan Institut Sains Saraf Nasional dan kemudian berkhidmat sebagai pengarahnya selama 11 tahun.

“Sepanjang kerjayanya, beliau tidak berganjak dalam tumpuannya kepada kebajikan pesakit dan etika perubatan,” kata Encik Wong, yang kini berada di Laos bagi menghadiri Sidang Puncak Asean.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg