Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghormatan kepada Lee Wei Ling yang bersemangat waja, penuh dedikasi

Pemimpin negara, masyarakat lahir penghargaan atas sumbangan
Oct 9, 2024 | 8:27 PM
Dr Lee Wei Ling, anak Perdana Menteri Pengasas, mendiang Lee Kuan Yew, diingati sebagai seorang doktor dan pakar saraf yang penuh semangat dan dedikasi dalam menjaga pesakitnya dengan baik.
Dr Lee Wei Ling, anak Perdana Menteri Pengasas, mendiang Lee Kuan Yew, diingati sebagai seorang doktor dan pakar saraf yang penuh semangat dan dedikasi dalam menjaga pesakitnya dengan baik. - Foto ST

Ucapan takziah mencurah-curah kepada mendiang Dr Lee Wei Ling, anak Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, dengan para pemimpin negara dan masyarakat memberi penghormatan dan mengenang jasa, sumbangan serta semangat waja beliau dalam bidang perubatan serta pendidikan awal kanak-kanak.

Ramai yang berdukacita atas pemergian Dr Lee, yang meninggal dunia di rumah pada usia 69 tahun, empat tahun selepas disahkan menghidap penyakit otak degeneratif yang jarang berlaku.

Berita kematian pakar saraf dan mantan pengarah Institut Sains Saraf Nasional (NNI) itu, yang mengetuai institut tersebut dari 2004 hingga 2014, diumumkan oleh adik beliau, Encik Lee Hsien Yang, dalam satu catatan Facebook pada 9 Oktober.

Dr Lee juga adik kepada mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang kini Menteri Kanan.

Mendiang merupakan anak kedua dalam tiga beradik dan satu-satunya anak perempuan Encik Lee Kuan Yew dan Cik Kwa Geok Choo.

NNI, dalam satu artikel yang memberi penghormatan kepada Dr Lee di laman mereka pada 9 Oktober, berkata Dr Lee sentiasa mengutamakan pesakit dan mengharapkan perkara yang sama daripada semua yang bekerja dengan beliau di institut itu.

Ketua Pegawai Eksekutif NNI, Profesor Madya Au Wing Lok, dalam artikel itu berkata Dr Lee telah memberi banyak sumbangan kepada institut tersebut sejak ia ditubuhkan ketika beliau timbalan pengarah (klinikal) hingga mewujudkan budaya yang memberi tumpuan kepada pesakit NNI semasa beliau menjadi pengarah selama 11 tahun.

“Beliau menjaga pesakit dan kakitangannya, dan akan berusaha sedaya upaya membantu mereka,” kata beliau.

Antara perkara pertama yang dilakukan Dr Lee setelah dilantik sebagai pengarah NNI adalah memastikan semua doktor menjadikan penjagaan pesakit keutamaan mereka.

Di bawah kepimpinan beliau, NNI memperluaskan perkhidmatannya untuk menyediakan penjagaan sains saraf di lima hospital awam – Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Selain itu, NNI bekerjasama dengan rakan penjagaan masyarakat, menyediakan penjagaan di rumah untuk pesakit dengan masalah pergerakan, seperti penyakit Parkinson.

Dr Lee turut membentuk Dana Endowmen Penyelidikan Kesihatan untuk memperjuangkan pendidikan dan penyelidikan demi mempertingkat khidmat klinikal dan mutu kehidupan pesakit.

Ucapan takziah dan penghormatan bagi Dr Lee turut diluahkan beberapa pemimpin negara di media sosial, termasuk Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.

Tuan Presiden, dalam catatan Facebooknya, mengimbas kenangan beliau menyaksikan Dr Lee sebagai pelari jarak pertengahan yang cemerlang semasa zaman persekolahannya.

“Saya melihat beliau berlari dalam Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Nasional di Farrer Park.

“Beliau mempunyai keazaman yang tertulis pada wajahnya,” kata Tuan Presiden.

Tuan Presiden berpeluang mengenali Dr Lee tatkala beliau menjadi menteri dalam pemerintah, dan mereka bertemu sesekali semasa makan tengah hari.

“Beliau bersemangat tentang tugasnya dalam perubatan, di mana di situlah sumbangan beliau terutamanya terletak.

“Beliau juga mempunyai pandangan kuat tentang pendidikan, yang sentiasa berbaloi untuk didengari.

“Keazaman yang sama dari zaman muda beliau membawanya melalui kehidupan. Berehatlah dengan tenang, Lee Wei Ling,” kata Tuan Presiden.

Menyifatkan Dr Lee sebagai seorang individu yang bersemangat dan penuh dedikasi, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, berkata mendiang memberikan sepenuhnya dalam segala-galanya yang beliau lakukan, terutamanya sebagai doktor.

Encik Teo menambah bahawa sepanjang lima dekad mereka mengenali satu sama lain, mereka telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai isu-isu yang penting kepada Dr Lee, seperti pendidikan awal kanak-kanak.

“Beliau kekal tabah dalam tahun-tahun terakhirnya meskipun beliau mengalami penyakit degeneratif dan melemahkan, dan hanya berjumpa dengan beberapa anggota keluarga dan rakan rapat.

“Semoga beliau berehat dengan tenang. Takziah saya ucapkan kepada keluarga beliau,” kata Encik Teo di Facebook.

Encik Heng pula berkata Dr Lee seorang pakar saraf yang amat bersemangat tentang pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak.

Encik Heng berkongsi bahawa beliau telah mengenali Dr Lee sejak 1997 ketika sedang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Encik Lee Kuan Yew, yang merupakan Menteri Kanan pada ketika itu.

“Saya terlibat dalam beberapa perbincangan dengan Wei Ling, termasuk dalam pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak.

“Wei Ling mempunyai pandangan dan keyakinan yang kuat, dan menyatakannya dengan baik.

“Kami banyak belajar daripada beliau, terutamanya tentang cara anak-anak muda belajar bahasa.

“Ini amat berharga ketika saya menjadi Menteri Pendidikan dan mengusahakan dasar dwibahasa kita,” tambah Encik Heng.

Sebagai pakar saraf dan pengarah NNI, Encik Heng berkata Dr Lee seorang doktor cemerlang yang penuh dedikasi dalam menjaga pesakitnya dan keluarga mereka.

Mengimbas, Encik Heng berkongsi bahawa Dr Lee telah mengunjungi beliau di hospital tatkala beliau mengalami angin ahmar lapan tahun lalu.

“Beliau meluangkan masa hampir sejam bersama isteri saya dan saya, memberi nasihat tentang cara untuk pulih dengan baik dan kekal aktif secara fizikal dan mental untuk membina semula rangkaian saraf saya.

“Kami amat menghargai penjagaan dan keprihatinan beliau terhadap saya,” kata beliau.

Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Nurhidayati Suphan, pula berkata pengalaman hidup Dr Lee sebelum dan setelah menjadi doktor “menjadikan beliau sebagai satu sumber inspirasi”.

“Melalui tugas yang telah beliau lakukan, anda dapat melihat semangat yang beliau ada untuk pesakitnya,” kata beliau.

Sumbangan murni Dr Lee kepada golongan yang memerlukan turut diingati, dengan jurucakap Canossa Mission Singapore, Sister Theresa Seow, berkata mendiang telah mendermakan sekurang-kurangnya $500,000 kepada Sekolah Canossian untuk kanak-kanak yang hilang pendengaran dan kepada badan tersebut bagi pembangunan perpustakaan inklusif Canossian Village Library.

“Kesemua derma beliau, termasuk dana bagi Village Library, telah membantu memberi ruang kepada ramai pelajar untuk belajar dan berkembang menjadi orang dewasa yang berfungsi,” kata penyelia The Canossian Village itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg