Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee kenang adik perempuan

Oct 9, 2024 | 4:24 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), bersama adiknya, mendiang Dr Lee Wei Ling, ketika mereka masih kecil.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (kiri), bersama adiknya, mendiang Dr Lee Wei Ling, ketika mereka masih kecil. - Foto FACEBOOK LEE HSIEN LOONG

Wei Ling tiga tahun lebih muda daripada saya. Salah satu kenangan awal saya tentang beliau adalah hari pertama beliau di tadika. Dulu, saya pulang ke rumah menaiki bas sekolah, jadi apabila Ling mula tadika, beliau melakukan perkara yang sama. Tetapi beliau menangis sepanjang perjalanan pulang, walaupun saya berusaha sedaya upaya untuk menghiburkan adik perempuan saya itu. Selepas itu, ibu kami mengaturkan supaya datuk menjemput kami selepas waktu sekolah.

Ling, yang lahir pada awal Januari, berusia hampir tujuh tahun ketika beliau memasuki Darjah 1. Beliau lebih tua dan jauh mendahului rakan sekelasnya, dan berasa bosan di dalam kelas. Jadi pada penghujung tahun, beliau mendapat kenaikan dua darjah ke Darjah 3. Beliau terus berjaya di sekolah, menjadi sangat kompetitif dengan azam yang kuat, dan akhirnya memenangi Biasiswa Presiden.

Ling menyayangi haiwan, terutama anjing. Keluarga kami memelihara beberapa ekor anjing yang sangat disayanginya, sehinggakan beliau mahu menjadi doktor haiwan. Tetapi ibu bapa kami menghalangnya dengan mengatakan beliau perlu memeriksa bangkai babi, lembu dan biri-biri di rumah penyembelihan, dan bukan hanya menjaga anjing dan kucing peliharaan.

Sebaliknya, beliau mengambil jurusan perubatan, mengungguli kelasnya di Universiti Singapura (kini Universiti Nasional Singapura) dan memenangi satu Pingat Emas. Beliau menjadi pakar neurologi kanak-kanak, dengan pengkhususan dalam epilepsi. Beliau membawa kegigihan dan komitmen kepada bidang perubatan, sama seperti yang beliau lakukan untuk setiap perkara lain, dan membina hubungan erat dengan pesakitnya, yang kebanyakannya beliau rawat selama bertahun-tahun.

Beliau juga merupakan doktor dalam keluarga, yang selalu kami rujuk apabila timbul masalah perubatan, besar atau kecil. Apabila saya menghidap limfoma, beliau sangat mengambil berat dengan rawatan dan perkembangan saya. Suatu hari, semasa makan tengah hari mingguan keluarga kami di Oxley Road, salah seorang anak saudaranya datang dengan sakit perut. Beliau melakukan pemeriksaan segera, mengesyaki apendisitis dan menghantarnya untuk diperiksa dengan teliti. Beliau ternyata betul.

Personaliti dan perwatakan Ling kekal tidak berubah sepanjang hidupnya. Beliau sangat setia kepada rakan-rakan, bersimpati secara naluri dengan orang yang tertindas, dan akan segera bertindak apabila melihat ketidakadilan atau mengesyaki perbuatan salah. Beliau seorang pejuang.

Untuk seketika, beliau menulis satu ruangan dalam The Sunday Times, mengutarakan pandangannya dengan tajam dan jelas. Tidak semua orang bersetuju dengan setiap pendapatnya, tetapi semangat dan keyakinannya terserlah. Beliau kemudiannya menerbitkan beberapa artikel ini dalam sebuah buku bertajuk, A Hakka Woman’s Singapore Stories: My life as a daughter, doctor and diehard Singaporean (Kisah Seorang Wanita Hakka: Hidup saya sebagai seorang anak, doktor dan warga Singapura yang tegar).

Selepas anak-anak lelaki berkahwin dan berpindah, Ling tinggal di Oxley Road bersama ibu bapa kami. Beliau sentiasa memantau kesejahteraan mereka seiring dengan usia mereka yang semakin meningkat. Beliau mengawasi penjagaan ibu kami selepas diserang angin ahmar. Beliau juga menjaga ayah saya, yang semakin tua dan semakin uzur walaupun beliau (ayah saya) turut menjaga ibu kami, dan terutamanya selepas ibu kami meninggal dunia pada 2010.

Bertahun-tahun yang lalu, ketika saya berusia kira-kira 13 tahun, ayah saya berasa hidupnya dalam bahaya, dan memberitahu saya bahawa jika sesuatu berlaku kepadanya, saya harus menjaga ibu dan adik-beradik saya yang lebih muda. Malangnya, selepas beliau meninggal dunia pada 2015, berlaku jurang antara saya dengan adik-beradik saya, dan saya tidak dapat memenuhi keinginannya. Namun, saya tidak menyimpan sebarang rasa dendam terhadap Ling, dan terus melakukan apa yang saya mampu untuk memastikan kesejahteraannya.

Pada 2020, Ling didapati menghidap progressive supranuclear palsy (PSP), sejenis penyakit yang serupa tetapi lebih teruk daripada Parkinson. Sebagai pakar neurologi, beliau sebenarnya telah mendiagnosis dirinya sebelum doktor melakukannya secara rasmi. Beliau menerimanya dengan tabah seperti biasa, dan menyiarkannya sebagai salah satu perkara dalam hidup yang perlu ditanggung dan ditempuh (https://go.gov.sg/drleeweilingfbpost). Beliau tahu tentang penyakit itu dan memanfaatkan sepenuhnya masa yang beliau ada walaupun kesihatannya merosot.

Kini, beliau telah meninggalkan kita. Saya akan sangat merindui Ling. Semoga beliau bersemadi dengan aman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg