Selepas semalaman minum arak bersama rakan-rakan untuk meraikan hari terakhir latihan kerahan mereka, seorang lelaki meminjam kereta bapa saudaranya untuk pulang ke kem.
Ketika memandu di Bukit Timah Road, Emilio Alphonso Gonzales berasa mengantuk, menyebabkan kereta itu terbabas di bahu jalan.
Menurut The Straits Times, dia ditemui tertidur oleh seorang pegawai polis, yang membangunkannya dan menjalankan ujian alat pernafasan ke atasnya.
Lelaki berusia 27 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 12 hari, denda $5,000 dan hilang kelayakan memandu selama tiga tahun, menurut penghakiman bertarikh 6 Ogos yang diperoleh minggu ini.
Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan iaitu memandu tanpa berjaga-jaga dan gagal memberi perhatian sewajarnya, serta memandu dalam keadaan mabuk.
Menurut dokumen mahkamah, Gonzales mengunjungi pusat karaoke di South Bridge Road bersama dua rakannya sekitar tengah malam pada 1 Disember 2023, untuk meraikan hari terakhir latihan kerahan mereka.
Selepas minum kira-kira lima hingga lapan gelas kecil bir sehingga sekitar 2.30 pagi, Gonzales pergi ke sebuah kelab di Orchard Road bersama dua rakannya dan meminum lima hingga enam gelas arak jenis ‘cognac’ yang dicampur dengan teh hijau.
Selepas minuman terakhir sekitar 4 pagi, dia menaiki teksi ke rumah bapa saudaranya di Lim Tai See Walk di Bukit Timah untuk mandi.
Dia kemudian memandu kereta bapa saudaranya pada kira-kira jam 6 pagi, ke Kem Nee Soon untuk hari terakhir latihan kerahannya.
Bagaimanapun, dia tertidur dan kereta yang dipandunya itu terbabas ke bahu jalan di Bukit Timah Road menghala ke Dunearn Road di hadapan stesen MRT Sixth Avenue.
Orang awam yang melihat kemalangan itu menghubungi talian kecemasan.
Seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian melihat Gonzales tertidur di tempat duduk pemandu, dengan badannya melentok ke depan dan tangannya pula berada di atas stereng. Dia memakai tali pinggang keledar dan enjin kereta masih hidup.
Pegawai itu membangunkannya untuk menemu bual dan mendapati Gonzales berbau alkohol.
Selepas gagal ujian pernafasan, Gonzales diberkas dan dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong.
Ujian darah menunjukkan bahawa dia mempunyai 136 miligram (mg) alkohol dalam setiap 100 mililiter darah – lebih tinggi daripada had undang-undang iaitu 80mg.
Pihak pendakwaan berkata, terdapat potensi bahaya kerana kenderaannya tersadai di tepi jalan berhampiran perhentian bas dan stesen MRT.
Menurut penghakiman, denda telah dibayar, dan pihak pembelaan telah merayu terhadap hukuman penjara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg