Seorang lelaki berusia 31 tahun ditangkap selepas kereta yang dipandunya merempuh sebatang tonggak jalan di pusat beli-belah Funan pada awal pagi 24 Jun.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta, trak dan teksi itu pada 6.55 pagi di pusat beli-belah popular tersebut, yang terletak di North Bridge Road.
Menurut The Straits Times, pemandu kereta itu ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk dan atas kesalahan trafik lain.
Pemandu trak berusia 61 tahun itu juga sedang membantu dalam siasatan, kata polis.
Seorang saksi yang tidak mahu dikenali memberitahu akhbar berbahasa Cina Lianhe Zaobao bahawa kereta itu terlibat dalam pelanggaran dengan trak tersebut sebelum ia terpusing dan merempuh tonggak jalan di hentian teksi di pusat beli-belah Funan dan sebuah teksi yang berada di situ.
Gambar selepas kemalangan menunjukkan bonet kereta Mercedes itu rosak teruk. Ia telah terbuka dan bahagian bampar depannya terjatuh.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura berkata seorang individu telah dirawat bagi kecederaan ringan tetapi enggan dibawa ke hospital.
Kemalangan jalan raya maut meningkat pada 2023, daripada 104 pada 2022 hingga 131 pada tahun lalu, dengan angka pada 2023 juga melepasi paras prapandemik.
Laporan tahunan Polis Trafik juga menunjukkan kenaikan dalam jumlah kemalangan maut yang melibatkan memandu dengan laju, memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar lampu trafik merah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg