Seorang lelaki yang melakukan aksi tidak wajar dengan menyentuh dua budak lelaki berusia lapan dan 11 tahun telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan.
Menurut laporan akhbar The Straits Times, dia juga telah merakam budak yang lebih kecil itu ketika melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya dan menyuruh mangsa melakukan aksi ciuman ke arah kamera.
Kedua-dua mangsa adalah jirannya yang tinggal di blok yang sama.
Lelaki warga Singapura berusia 22 tahun itu, sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual dan satu pertuduhan memiliki filem lucah.
Dia tidak boleh dinamakan kerana perintah tegahan untuk melindungi identiti kanak-kanak tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu pada 6 Januari, Timbalan Ketua Hakim Daerah Ong Chin Rhu, berkata lelaki itu mempunyai rekod masalah mental, termasuk gangguan menyesuaikan diri berserta masalah kebimbangan.
Namun, masalah mentalnya itu tidak ada kaitan dengan kesalahan yang dilakukannya.
Hakim juga berkata walaupun pesalah berusia 20 tahun ketika dia mula melakukan kesalahan itu pada 2022, dia tidak wajar dianggap sebagai pesalah muda kerana perbuatan jenayahnya.
Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu dikenali sebagai V1 dalam dokumen mahkamah dan kanak-kanak berusia lapan tahun itu pula dikenali sebagai V2.
Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu pertama kali mendekati V1 pada Disember 2022, tetapi budak itu tidak melayannya.
Atas ajakan lelaki itu, V1 pergi ke flatnya sebanyak tujuh hingga lapan kali, di mana lelaki itu menyentuhnya secara tidak wajar.
Pada satu ketika, lelaki itu meminta V1 menyentuhnya tetapi kanak-kanak itu menolak.
Dia turut memeluk V1 di kolong atau tangga blok sekitar lima kali.
Pada 3 April 2023, lelaki itu menjemput V2 ke flatnya dan merakam video dirinya menyentuh kanak-kanak itu secara tidak wajar.
Polis menangkapnya pada 27 April 2023.
Turut dirampas daripadanya dua telefon bimbit yang mengandungi sejumlah video lucah, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak yang dimuat turun dari Internet.
Ikat jamin lelaki itu ditetapkan $20,000 dan dia dijangka mula menjalani hukuman pada 3 Februari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg