Apabila Nur (bukan nama sebenar) mengalami penderaan seksual pada usia sembilan tahun, dia tidak tahu cara mendapatkan bantuan.
Seandainya Kit Sumber Tingkah Laku Pelindung tersedia ketika itu, ia dapat membekalkan Nur dengan pengetahuan penting tentang tubuhnya, bahawa orang lain tidak boleh menyentuh bahagian sulit tubuhnya, dan cara mendapatkan bantuan secepat mungkin.
Kit sumber itu dilancarkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, serta Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, pada 16 Oktober di SUSS.
Ia dihasilkan oleh pertubuhan bukan pemerintah yang memberi tumpuan kepada pencegahan keganasan keluarga, perlindungan kanak-kanak dan penderaan seksual, Pave, bersama rakan kongsi masyarakatnya.
Dengan pelancaran itu, kini terdapat kit sumber untuk melindungi dan memperkasa generasi baru kanak-kanak, bagi membekalkan mereka dengan sumber yang diperlukan untuk kekal selamat dan cara mendapatkan bantuan.
Dalam satu kenyataannya, Pave mengatakan satu kajian yang dijalankan Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Forensik (CFPS) di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dari 2017 hingga 2021 menunjukkan kanak-kanak lelaki didera secara seksual seawal usia lapan tahun, sementara kanak-kanak perempuan pada usia 10 tahun.
Dalam separuh kes penderaan seksual kanak-kanak pula, ia mengambil masa lebih 19 bulan selepas kejadian pertama untuk mangsa mendapatkan bantuan.
Semasa berucap, Dr Maliki berkata: “Kanak-kanak ini menanggung kesakitan dan keganasan fizikal serta psikologi teruk, dan sering ditindas, purata tiga hingga empat tahun sebelum memberitahu ahli keluarga mereka.
“Ramai pada usia itu tidak tahu bahawa perkara yang dilakukan terhadap mereka adalah salah. Dan mereka menderita dalam diam, membawa kepada isu kesihatan mental mencabar apabila memasuki umur dewasa.”
Puan Halimah pula berkata itu menunjukkan betapa pentingnya mendidik anak-anak tentang perkara yang selamat dan tidak selamat, dan cara bersuara jika ada sesuatu yang tidak kena.
“Dengan mengajar kanak-kanak tentang keselamatan tubuh dan melaporkan kes penderaan seksual, kami boleh membantu mereka melindungi diri mereka,” kata beliau.
Di samping ibu bapa, pendidik dan penjaga, kit sumber itu disasarkan kepada kanak-kanak berumur empat hingga sembilan tahun.
Direka dalam format interaktif yang mudah difahami, ia mengandungi video animasi, video keselamatan tubuh, aplikasi permainan telefon bimbit serta Kurikulum dan Manual Tingkah Laku Pelindung yang menyediakan panduan berstruktur bagi pendidik, ibu bapa dan penjaga.
Aplikasi permainan itu, Garden of Safety, adalah permainan interaktif yang mendidik kanak-kanak cara memberi tindak balas apabila keselamatan mereka terancam.
Ia direka oleh Pave dan SUSS, dan boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store mulai 16 Oktober, dan di App Store pada masa depan.
Untuk mengakses manual itu, pendidik, ibu bapa dan penjaga perlu menamatkan modul e-pembelajaran yang terdiri daripada enam modul.
Bayaran pendaftaran bagi modul tersebut ialah $5.45 bagi 4,000 pengguna pertama, manakala pengguna selanjutnya perlu membayar $10.
Kit sumber itu berguna untuk kanak-kanak, kata Siti, seorang mangsa penderaan berusia 26 tahun, kepada Berita Harian.
“Mereka akan mendapat pemahaman lebih baik tentang tubuh mereka sendiri, malah bakal pelaku akan mengetahui bahawa menyentuh bahagian sulit seseorang adalah salah dan boleh membawa akibat yang serius,” ujarnya, yang melaporkan kejadian yang dialaminya hanya pada usia 24 tahun.
Nur, kini 33 tahun, menceritakan apa yang dialami kepada guru kelas pendidikan seksual di sekolah hanya pada usia 12 tahun.
“Penting mendapatkan bantuan apabila menghadapi penderaan, kerana berdiam diri hanya memanjangkan keperitan.
“Saya harap mereka (mangsa penderaan seksual) tampil untuk bersuara dan tidak membiarkan kitaran penderaan rentas generasi.
“Jangan risau tentang apa yang akan berlaku. Buat sahaja laporan kerana ada banyak sumber (pertolongan) di luar sana. Anda melakukan ini bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg