Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Limpahan minyak di sebahagian pantai selatan, East Coast sudah dibersihkan

Jun 20, 2024 | 3:58 PM
Kerja-kerja membersihkan kesan limpahan minyak diteruskan pada 14 Jun di Pantai Tanjong.
Kerja-kerja membersihkan kesan limpahan minyak diteruskan pada 14 Jun di Pantai Tanjong. - Foto ST

Pantai-pantai di perairan selatan Singapura dan Taman East Coast kebanyakannya telah dibersihkan daripada kesan minyak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membersihkan limpahan minyak terbesar di Singapura dalam tempoh lebih sedekad.

Setakat 5 petang pada 19 Jun, pantai di Pulau Sekijang Bendera (St John’s), Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus) dan Kusu telah dibersihkan daripada pasir berminyak, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan bersama pada 20 Jun mengenai kemajuan operasi di seluruh negara itu.

Bahagian utara Terminal Kontena Pasir Panjang – tempat bermulanya kejadian limpahan minyak pada 14 Jun – juga telah dibersihkan daripada tompokan minyak, lapor The Straits Times.

Dalam kejadian itu, sebuah bot pengorek berbendera Belanda, melanggar kapal bunker berbendera Singapura di Terminal Kontena Pasir Panjang, menyebabkan 400 tan bahan api tumpah ke laut.

Mendakan minyak telah dialihkan daripada kebanyakan bahagian pantai Siloso di Sentosa, serta pantai di Taman East Coast dan Tanah Merah, kata agensi yang menangani tumpahan itu.

Pihak berkuasa yang terlibat termasuk Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), agensi air Singapura PUB, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA).

Memandangkan air pasang masih boleh menyapu sisa-sisa mendakan minyak, pembersihan lanjut mungkin perlu dijalankan di Taman East Coast dan pantai Tanah Merah.

Sementara itu, kerja-kerja pembersihan di pantai Palawan dan Tanjong dan penyingkiran minyak terkumpul di Hutan Simpanan Labrador, Cooper Channel dan Keppel Marina masih dijalankan.

Sehingga kini, tidak ada ladang ternakan ikan terjejas akibat limpahan minyak itu tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, SFA telah mengambil sampel ikan daripada ladang ternakan ikan di pantai di Selat Johor Timur dan mengesahkan bahawa ikan tempatan selamat dimakan.

Begitu juga, PUB berkata bekalan air minuman Singapura kekal tidak terjejas.

Untuk mengehadkan kerosakan akibat limpahan minyak, boya sepanjang 3.4 kilometer telah dipasang untuk membendung dan menyerap minyak.

Tiga sistem penyedut dan pembendung minyak yang dikenali sebagai Current Busters telah digunakan di kawasan yang terjejas di terminal, Sentosa, East Coast dan Changi East, dan satu lagi akan menyertai operasi itu tidak lama lagi.

Secara keseluruhan, mesin ini akan mampu menyedut 80 tan minyak setiap muatan.

Sehingga 5 petang pada 19 Jun, tidak ada minyak dikesan di pantai Changi dan Pasir Ris, tetapi orang ramai masih dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan air sehingga diberitahu kelak.

Begitu juga, tidak ada minyak dikesan di Taman West Coast dan kawasan sensitif biodiversiti di Chek Jawa Wetlands di Pulau Ubin, Taman Coney Island dan Taman Pasir Ris, tetapi alat penyerap telah digunakan untuk melindungi kawasan berkenaan.

Pantai-pantai yang terjejas akan terus dipantau untuk tanda-tanda tompokan minyak selanjutnya, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa sedang berhubung dengan kerajaan Malaysia untuk bekerjasama dalam usaha menangani sebarang kesan lanjut daripada limpahan minyak tersebut, tambah kenyataan bersama itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg