Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LRT Sengkang-Punggol: 2 tren baru tiba, mula operasi suku ketiga 2025

Nov 25, 2024 | 7:19 PM
Gambaran artis mengenai  kereta api dua gerabak baru untuk LRT Punggol-Sengkang.
Gambaran artis mengenai kereta api dua gerabak baru untuk LRT Punggol-Sengkang. - Foto LTA

Dua buah kereta api baru pertama untuk LRT Sengkang-Punggol tiba di Singapura pada 23 November, dan akan mulakan perkhidmatan penumpang pada suku ketiga 2025.

Ia adalah antara 25 kereta api dua gerabak baru yang dibawa oleh pihak berkuasa untuk menampung peningkatan permintaan penumpang di Sengkang dan Punggol, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam catatan Facebook pada 23 November.

Catatan Facebook itu turut memuat naik rakaman video kereta api baru itu diturunkan dari kapal.

LTA menambah, semua tren baru itu akan dibawa ke depoh LRT Sengkang untuk ujian menyeluruh dan pentauliahan.

Baki 23 kereta api dua gerabak baru akan tiba di Singapura secara berperingkat dan akan mula beroperasi secara berkelompok selepas suku ketiga 2025, lapor The Straits Times.

Kereta api baru itu dihasilkan Mitsubishi Heavy Industries Jepun.

Tujuh belas daripada tren baru itu, yang ditempah pada 2022, dijadualkan dihantar secara progresif dari 2024 hingga 2027.

Baki lapan tren, yang ditempah pada 2023 pula akan tiba secara progresif mulai separuh kedua 2027.

LRT Sengkang-Punggol sekarang mempunyai 16 kereta api dua gerabak dan 25 kereta api satu gerabak, kata LTA pada 25 November.

Tempahan awal 17 tren dua gerabak akan menggantikan 25 tren satu gerabak sedia ada, manakala tempahan lapan tren dua gerabak kemudian akan menggantikan separuh daripada 16 tren dua gerabak yang ada sekarang.

Dengan bekalan kereta api baru itu, rangkaian LRT Sengkang-Punggol akhirnya akan mempunyai 33 kereta api dua gerabak.

Setiap kereta api boleh memuatkan 105 penumpang.

Secara purata, LRT Sengkang-Punggol mencatatkan 612,000 kilometer perjalanan bagi setiap kereta api tanpa kelewatan perkhidmatan yang berlangsung lebih lima minit dari Oktober 2023 hingga September 2024.

Ini lebih rendah daripada 1.22 juta kilometer perjalanan bagi setiap kereta api antara kelewatan sepanjang 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg