Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan LRT Bukit Panjang dek gear gagal

Nov 11, 2024 | 6:19 PM
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata kerosakan kereta api LRT Bukit Panjang (BPLRT) pada 22 Oktober berpunca daripada kerosakan gear pada salah satu pemasangan rodanya berdasarkan penemuan awal daripada siasatan yang sedang dijalankan.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata kerosakan kereta api LRT Bukit Panjang (BPLRT) pada 22 Oktober berpunca daripada kerosakan gear pada salah satu pemasangan rodanya berdasarkan penemuan awal daripada siasatan yang sedang dijalankan. - Foto MDDI

Kerosakan kereta api LRT Bukit Panjang (BPLRT) pada 22 Oktober berpunca daripada kerosakan gear pada salah satu rodanya berdasarkan penemuan awal daripada siasatan yang sedang dijalankan, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, di Parlimen pada 11 November.

Insiden yang berlaku pada waktu sibuk petang itu menghentikan perkhidmatan LRT antara stesen Bukit Panjang dengan Choa Chu Kang.

Akibat kegagalan gear, dua roda yang rosak itu tidak dapat berputar seperti biasa dan geseran antara tayar getah dengan trek menyebabkan tayar kempis, kata Encik Chee, sebagai menjawab soalan mengenai punca kerosakan tersebut.

Ini membawa kepada gangguan kuasa selepas palang di bawah gerabak kereta api bersentuhan dengan rel kuasa, lantas merosakkannya. Rel kuasa membekalkan kuasa kepada kereta api.

Pengendali BPLRT, SMRT, menamatkan perkhidmatan kereta api di sepanjang laluan terjejas kira-kira satu jam setengah lebih awal daripada biasa untuk menjalankan pembaikan, dan perkhidmatan disambung semula keesokan harinya.

Cik Yeo Wan Ling (GRC Pasir Ris-Punggol) bertanya kepada Encik Chee sama ada “analisis punca” kerosakan pada 22 Oktober itu telah dilakukan untuk menolak isu sistemik.

Mengulangi bahawa punca kejadian masih dalam siasatan, Encik Chee berkata kali terakhir insiden serupa yang menjejas pemasangan gear pada roda berlaku adalah pada 2010.

“Itu agak lama dahulu dan ia tidak berulang sejak itu,” kata Encik Chee, sambil menambah bahawa setakat ini, tidak ada cadangan bahawa “ada sesuatu yang sistemik dalam contoh tertentu ini, tetapi kami akan melihat dengan lebih teliti semasa siasatan”.

Encik Chee juga memberi maklumat terkini mengenai usaha menaik taraf BPLRT, sebagai jawapan kepada soalan Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah) dan Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang).

Rangkaian berusia 25 tahun itu telah dibelenggu dengan sejarah panjang isu keandalan dan berada di tengah-tengah program pembaharuan aset berbilang tahun untuk meningkatkan keandalan operasinya.

Sejak 28 September, perkhidmatan dua pusingan (loop) pada BPLRT telah disambung semula sepenuhnya pada hujung minggu dan cuti umum.

Encik Chee berkata bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyasarkan untuk menyambung semula perkhidmatan dua pusingan itu pada hari bekerja “dalam beberapa bulan akan datang”.

Menjawab Encik Liang, yang telah meminta “garis masa lebih jelas (daripada) ‘bulan-bulan akan datang’”, Encik Chee berkata pihak berkuasa akan melakukan yang terbaik untuk mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf dengan cara yang selamat untuk pekerja dan penumpang.

Daripada 19 kenderaan generasi ketiga baru yang dibawa masuk untuk menggantikan generasi pertama, empat sedang dalam perkhidmatan dan dua sedang menjalani ujian. Baki 13 akan tiba pada 2025.

Sementara itu, enam daripada 13 kenderaan generasi kedua telah dinaik taraf dan tujuh lagi akan menyusul dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sasarannya adalah untuk kenderaan baru dan dinaik taraf itu memulakan perkhidmatan menjelang akhir 2025, kata Encik Chee.

Sistem bekalan kuasa juga telah ditambah baik. Ia kini telah meningkatkan kapasiti, dan sistem pemantauan dan kawalan bekalan kuasa khusus.

Pusat kawalan operasi sedang dinaik taraf dan LTA juga akan menggantikan rel kuasa untuk meningkatkan operasi dan keandalan sistem, kata Encik Chee.

Bagi memudahkan kerja-kerja itu, perkhidmatan kereta api BPLRT akan tamat satu jam lebih awal pada 10.30 malam dari Khamis hingga Ahad, dari 14 November hingga 31 Oktober 2025.

Di Parlimen, Encik Chee mengakui bahawa program pembaharuan BPLRT – ditetapkan untuk disiapkan pada 2026 – “sudah lama berlangsung”.

Mengucapkan terima kasih kepada penumpang kerana memahami kerja berterusan yang dijalankan, beliau berkata adalah perlu untuk “melalui proses ini untuk menyelesaikan masalah legasi dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg