Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA anugerah kontrak $522j pertingkat jalan raya di Changi, termasuk untuk Terminal 5

Sep 12, 2024 | 3:51 PM
Salah satu kontrak adalah untuk kerja-kerja pembinaan jalan raya di Changi South yang menyaksikan syarikat terlibat merubah semula Jejambat Changi, membina terowong dan jambatan di sana.
Salah satu kontrak adalah untuk kerja-kerja pembinaan jalan raya di Changi South yang menyaksikan syarikat terlibat merubah semula Jejambat Changi, membina terowong dan jambatan di sana. - Foto LTA

Kerja-kerja pembaikan jalan raya bagi memenuhi pembangunan baru di Changi North dan Changi South seperti Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi (T5) akan bermula pada suku keempat 2024.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 12 September telah menganugerahkan dua kontrak dengan nilai gabungan $522.4 juta untuk kerja-kerja itu kepada syarikat pembinaan tempatan Samwoh.

Di bawah satu kontrak, Samwoh akan melebarkan jalan raya sepanjang 5.5 kilometer di Changi North daripada dua lorong berkembar kepada empat lorong berkembar.

Kontrak lain adalah untuk kerja-kerja jalan raya di Changi South yang bakal menyaksikan syarikat itu mengkonfigurasi semula Jejambat Changi, yang bersambung ke lapangan terbang, menambah laluan baru berupa terowong dan jambatan di sana.

Di bawah kontrak kedua pula, satu bahagian Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) antara Jejambat Upper Changi dengan Jejambat Changi akan dilebarkan, dan jalan raya baru akan dibina selari dengan East Coast Parkway (ECP) antara Jejambat Changi dengan Jejambat Tanah Merah.

Kerja-kerja tersebut dijangka menambah kesibukan projek infrastruktur pengangkutan di kawasan Changi yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di susur jalan raya utama dan menyokong peningkatan yang dijangkakan dalam permintaan perjalanan, lapor The Straits Times (ST).

Sebahagian daripada apa yang dipanggil oleh LTA sebagai Koridor Utara Changi dan Koridor Selatan Changi, penambahbaikan jalan raya itu dijangka memberi manfaat kepada daerah perindustrian dan perniagaan di kawasan itu apabila ia siap secara berperingkat dari 2028 hingga 2034.

Dalam satu kenyataan, LTA berkata pelebaran jalan raya di Changi North yang merangkumi Loyang Avenue, Telok Paku Road, Nicoll Drive dan Changi Coast Road dijangka siap menjelang 2030.

Bersama-sama dengan siapnya Jejambat Loyang yang baru sepanjang 2.6 kilometer pada 2028, jalan raya yang dilebarkan itu akan memberi perkhidmatan kepada Kawasan Perindustrian Loyang, Pusat Pengangkutan Udara Changi dan Taman Logistik Penerbangan, kata LTA.

Jalan-jalan raya baru itu juga akan melengkapkan dua stesen MRT Laluan Cross Island yang akan dibina di kawasan itu – Loyang dan Pasir Ris East – dan laluan berbasikal baru sepanjang 3 kilometer di Loyang dan Changi North yang kesemuanya akan siap menjelang 2030.

Bagi koridor selatan yang dirancang di Changi, yang telah tertangguh selama empat tahun akibat pandemik Covid-19, LTA berkata penambahbaikan PIE dan ECP antara Jejambat Upper Changi dan Jejambat Tanah Merah dijangka dijalankan menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg