Daftar pengundi Singapura telah dikemas kini untuk menyertakan nama semua pengundi yang layak pada 1 Jun 2024.
Ia dibuka bagi pemeriksaan awam dari 19 Jun hingga 2 Julai.
Kerja mengemas kini daftar itu dibuat di tengah-tengah spekulasi pilihan raya umum seterusnya, yang mesti diadakan menjelang November 2025, mungkin berlangsung seawal September 2024.
Mengumumkan kemas kini itu dalam satu kenyataan pada 18 Jun, Jabatan Pilihan Raya (ELD) berkata rakyat Singapura boleh menyemak butiran mereka dalam Daftar Pengundi secara elektronik melalui ‘Perkhidmatan Pengundi’ di laman web ELD, atau di bawah ‘Profil Saya’ pada aplikasi mudah alih Singpass.
Jika mendapati nama mereka tiada atau butiran mereka berbeza daripada yang tertera pada kad pengenalan, mereka boleh memfailkan tuntutan semasa tempoh pemeriksaan.
Orang ramai juga boleh mengemukakan bantahan untuk mengeluarkan nama daripada daftar divisyen pilihan raya sesuai dengan tempat tinggal mereka pada masa ini.
Seseorang layak mengundi jika mereka warganegara Singapura berumur 21 tahun ke atas dan mempunyai alamat kediaman Singapura atau alamat kontak tempatan, serta tidak hilang kelayakan sebagai pengundi di bawah sembarang undang-undang bertulis.
ELD berkata tuntutan dan bantahan boleh dikemukakan menerusi laman webnya, atau secara peribadi di pejabatnya di Novena Rise, di 110 balai rakyat atau kelab masyarakat dan pusat ServiceSG di seluruh negara.
Mereka yang berada di luar negara boleh berbuat demikian di 10 kedutaan Singapura yang berkhidmat sebagai pusat pendaftaran luar negara.
Di lokasi fizikal itu, senarai mereka yang membuat tuntutan akan tertera untuk diperiksa antara 13 dengan 20 Julai, jelas ELD.
Mereka yang tidak dapat menyemak butiran mereka dalam daftar itu secara elektronik boleh menyemaknya di lokasi yang sama itu.
Untuk memilih pejabat ELD, orang ramai boleh membuat e-janji temu terlebih dahulu melalui laman webnya, atau dengan menghubungi talian 1800-225-5353.
Talian hotline juga tersedia bagi sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
ELD berkata mereka yang namanya dikeluarkan daripada daftar kerana gagal mengundi pada pilihan raya lalu boleh memohon agar nama mereka dimasukkan semula. Ini boleh dilakukan di bawah tab ‘Perkhidmatan Pengundi’ yang sama di laman sesawang ELD.
ELD, sebuah jabatan di bawah Pejabat Perdana Menteri, menggalak mereka “memohon awal”, dengan menyatakan di bawah undang-undang, ia tidak akan dapat memasukkan nama individu itu tepat pada masanya sebaik sahaja writ untuk pilihan raya dikeluarkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg