Parti Pekerja (WP) akan mengadakan persidangan parti pada 30 Jun untuk memilih pasukan kepimpinan baru yang akan membawanya ke pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut The Straits Times, meskipun senarai nama untuk pemilihan dalaman parti hanya akan didedahkan pada hari itu, Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, 47 tahun; dan pengerusinya, Cik Sylvia Lim, 59 tahun, dijangka bertanding untuk jawatan mereka sekarang.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah sama ada bekas ketua parti itu, Encik Low Thia Khiang, akan kekal dalam barisan tersebut kelak.
Encik Singh, yang merupakan Ketua Pembangkang, dipilih kembali tanpa bertanding dalam pemilihan dalaman terakhir parti itu pada 12 November 2022. Beliau telah menjadi ketua parti sejak 2018.
Pada pilihan raya 2022, Cik Lim dicabar oleh anggota lama WP Tan Bin Seng – bekas pengerusi WP dan calon PRU sekali – tetapi menang sekitar dua pertiga daripada jumlah undi, kata kader yang hadir ketika itu. Beliau telah menjadi pengerusi parti sejak 2003.
Kader parti, anggota yang mempunyai hak mengundi, memilih dua jawatan pucuk pimpinan secara berasingan. Mereka kemudian mengundi anggota lain untuk memegang jawatan dalam badan pembuat keputusan tertinggi parti.
Pada pilihan raya 2022, parti itu mengundi 13 anggota lain ke dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), tidak termasuk Encik Singh dan Cik Lim.
Tetapi kini terdapat 11 daripada mereka yang tinggal, selepas pemergian dua ahli CEC penting – Encik Leon Perera, 53 tahun, ketika itu ketua pasukan media; dan Cik Nicole Seah, 37 tahun, presiden sayap belia ketika itu.
Mereka termasuk Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, 49 tahun, dan Encik Gerald Giam, 46 tahun; AP GRC Sengkang, Cik He Ting Ru, 41 tahun, Encik Louis Chua, 37 tahun, dan Encik Jamus Lim, 48 tahun; AP Hougang, Encik Dennis Tan, 53 tahun; bekas ketua parti, Encik Low Thia Khiang, 67 tahun; bekas calon PRU, Encik Nathaniel Koh, 40 tahun, dan Encik Kenneth Foo, 47 tahun, serta Encik Tan Kong Soon, 47 tahun, juga anggota CEC dari 2016 hingga 2018; dan Encik Ang Boon Yaw, 42 tahun, seorang peguam yang mula menjadi sukarelawan dengan parti itu pada 2012.
Encik Perera, yang merupakan AP GRC Aljunied, dan Cik Seah, anggota pasukan GRC East Coast dalam PRU 2020, meletak jawatan daripada WP pada Julai 2023 kerana hubungan sulit mereka.
Pada 2021, Cik Raeesah Khan, 30 tahun, ketika itu AP GRC Sengkang, meletak jawatan selepas beliau mengaku berbohong di Parlimen mengenai mangsa serangan seksual yang diperlakukan dengan buruk oleh polis.
Encik Singh kemudiannya terlibat semasa perbicaraan jawatankuasa parlimen berhubung salah laku Cik Khan, dan didakwa pada Mac kerana berbohong kepada jawatankuasa itu.
Walaupun terdapat sedikit rasa tidak senang dalam parti mengenai cara Encik Singh mengendalikan isu-isu itu, ini tidak mungkin menjejas sokongan terhadapnya pada pemilihan dalaman, kata seorang anggota lama WP yang tidak mahu namanya disiarkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg