Pemerintah Singapura menuduh akhbar New York Times (NYT) memajukan agenda penerbitan itu sendiri berhubung satu video yang menampilkan Encik Li Shengwu, iaitu anak saudara mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Dalam video yang diterbitkan pada 22 Januari itu – yang juga menampilkan tiga individu lain yang berkongsi tentang pengalaman hidup dalam keadaan tertindas di negara mereka – Encik Li telah menuduh pak ciknya mempunyai “corak menggunakan siasatan polis dan pendakwaan jenayah untuk melupuskan atau mengusir lawannya”.
Dalam satu surat kepada editor NYT pada 26 Januari, Duta Singapura ke Amerika Syarikat, Encik Lui Tuck Yew, menyifatkan video tersebut, yang berjudul How Tyranny Begins, sebagai ulasan tentang politik Amerika, tetapi menuduh penerbitan itu sebagai menggambarkan Singapura secara salah.
“Tetapi anda menarik perhatian mengenai Singapura melalui analogi mengelirukan yang diberikan oleh Encik Li Shengwu, yang menyamar sebagai pembangkang yang teraniaya,” jelas Encik Lui.
“Encik Li tidak pernah dibuang negeri dari Singapura, dipenjarakan atau dilucutkan harta bendanya, seperti yang berlaku kepada beberapa orang lain dalam penerbitan anda.
“Beliau kekal sebagai rakyat Singapura dan terus bebas berjalan menggunakan pasport Singapura.
“Bukan tempat kita untuk mengulas tentang politik domestik Amerika. Namun, kita mesti membantah apabila anda menggunakan gambaran palsu mengenai Singapura untuk memajukan agenda anda sendiri.”
Tiga individu lain yang ditampilkan dalam video tersebut telah berkongsi pengalaman hidup mereka di bawah rejim Presiden Vladimir Putin di Russia; pemerintah Hungary di bawah Perdana Menteri Viktor Orban; dan kepimpinan Nicaragua di bawah Presiden Daniel Ortega.
Bapa Encik Li, Encik Lee Hsien Yang, dalam satu catatan Facebook pada Oktober 2024 berkata beliau telah memohon suaka pada 2022 dan mendapatkan perlindungan suaka “sebagai pilihan terakhir” di United Kingdom.
Encik Lee Hsien Yang dan isterinya, Cik Lee Suet Fern, telah meninggalkan Singapura pada 15 Jun 2022 selepas pihak polis Singapura meminta bantuan dalam satu siasatan, namun mereka tidak pulang ke tanah air sejak itu.
Siasatan itu adalah terhadap kesalahan yang mungkin timbul angkara keterangan palsu yang diberikan dalam prosiding kehakiman berhubung wasiat bapanya, mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Merujuk kepada satu catatan peribadi di Facebook pada 2017, Encik Li, seorang profesor ekonomi di Universiti Harvard, berkata selepas kejadian itu, “pemerintah Singapura mengejar saya dengan pendakwaan jenayah”.
“Saya melarikan diri dari negara ini secepat mungkin,” tambah beliau.
Dalam responsnya kepada NYT, Encik Lui berkata Singapura memandang serius kedaulatan undang-undang dan bahawa Encik Li tidak terkecuali daripada kuasa undang-undang.
Encik Li sebelum ini telah didakwa menghina mahkamah pada 2020, dan telah membayar denda $15,000 yang dikenakan oleh mahkamah dan tidak disiasat untuk perkara lain sejak itu.
Encik Lui menambah bahawa Encik Li bebas kembali ke Singapura pada bila-bila masa.
Memberi respons kepada pendapat Encik Li bahawa adalah lebih baik untuk melawan daripada mengalah, Encik Lui berkata Encik Li boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan sebelum November 2025.
“Sebaliknya, Encik Li meletakkan statusnya sebagai cucu Encik Lee Kuan Yew dan meminjamkan dirinya kepada Times untuk memberikan analogi palsu untuk politik Amerika.
“Amat dikesali bahawa beliau telah memilih untuk memburukkan negara yang datuknya sendiri telah mempunyai peranan penting dalam pembangunannya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg