Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah: Lee Hsien Yang tukar ‘dendam peribadi’ jadi kempen fitnah antarabangsa

Dakwaan dalam wawancara bersama Associated Press bahawa penindasan, rasuah kian teruk di S’pura disangkal pemerintah sebagai tidak berasas
Oct 31, 2024 | 8:55 PM
Encik Lee Hsien Yang
Encik Lee Hsien Yang - Foto fail

Semua contoh dakwaan rasuah yang ditukil Encik Lee Hsien Yang telah ditangani secara menyeluruh sama ada melalui mahkamah atau di Parlimen, dan beliau bukan mangsa penindasan, menurut pemerintah Singapura.

Namun, Encik Lee Hsien Yang telah mengubah satu “dendam peribadi menjadi kempen fitnah antarabangsa terhadap bapanya, keluarga dan negaranya”.

Dalam satu temu bual bersama agensi berita Amerika Syarikat, The Associated Press (AP), beliau membuat pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan Singapura telah menjadi negara lebih menindas.

Artikel yang diterbitkan pada awal 31 Oktober itu, bertajuk ‘Singapore’s affluent veneer hides repression and corruption, says son of its modern-day founder’, melaporkan anak Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, itu sebagai berkata rasuah semakin teruk dalam 10 tahun sejak kematian bapanya.

Dalam respons kepada soalan AP, yang dikongsi dengan media tempatan, pemerintah berkata dakwaan Encik Lee Hsien Yang dalam laporan AP itu bahawa Singapura telah menjadi negara lebih menindas dan keadaan rasuah semakin buruk adalah tidak benar.

“Singapura sentiasa bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang kami. Baru-baru ini, seorang bekas menteri dijatuhi hukuman penjara setahun kerana menerima hadiah.

“Sekiranya dia menjadi menteri di tempat lain, dia tidak akan didakwa kerana menerima hadiah seperti itu, apatah lagi dijatuhi hukuman penjara setahun,” kata pemerintah, merujuk kepada kes melibatkan bekas menteri pengangkutan, S. Iswaran.

“Sama seperti Encik Lee Kuan Yew bertindak semasa beliau menjadi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong mahupun penggantinya, Encik Lawrence Wong, tidak menghalang bekas rakan sekerja mereka disiasat, didakwa dan disabitkan kesalahannya.”

Pemerintah menyatakan apa yang AP perlu pertimbangkan semasa menilai kredibiliti dakwaan yang dibuat Encik Lee Hsien Yang ialah fakta dan kesimpulan daripada sebuah Tribunal Tatatertib (DT) yang dilantik Hakim Besar, dan Mahkamah Tiga Hakim (C3J), badan disiplin tertinggi yang menangani salah laku peguam.

“Kami percaya bahawa anda juga akan menyediakan ini kepada pembaca anda, supaya mereka boleh menilai sendiri kredibiliti dakwaan yang sekarang dibuat oleh Encik Lee Hsien Yang.

“Pertama, DT mendapati Encik Lee Hsien Yang dan isterinya, Cik Lee Suet Fern, membentangkan ‘pembohongan rumit’ mengenai pelaksanaan wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew.

“Kedua-duanya, DT dan kemudian C3J, mendapati Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern mengelirukan Encik Lee Kuan Yew dalam pelaksanaan wasiat terakhirnya, dan berbohong di bawah sumpah. Dapatan C3J dan DT boleh didapati dalam talian,” ujar kenyataan itu.

Singapura mengambil pendirian tegas terhadap rasuah dan jenayah kewangan serius yang lain. Ini berlaku semasa Encik Lee Kuan Yew berada dalam Kabinet, dan ia kekal begitu walaupun selepas kematiannya pada 2015, seperti yang dibuktikan oleh kedudukan global Singapura.

“Encik Lee Hsien Yang adalah benefisiari utama sistem Singapura, mengetahui semua fakta ini. Tetapi setelah didapati mahkamah dan tribunal tersebut bahawa beliau telah mengelirukan bapanya, beliau memutuskan untuk menukar dendam peribadinya kepada satu kempen fitnah antarabangsa terhadap bapanya, keluarganya dan negaranya.

“Secara jelas, beliau seolah-olah mendakwa dalam permohonan suakanya di Britain bahawa satu sebab beliau dan keluarganya dianiaya pemerintah Singapura ialah untuk menghalang anaknya, Li Shengwu, menjadi Perdana Menteri.

“Bahawa beliau sanggup menuduh seperti itu – walaupun anaknya berulang kali berkata beliau tidak mempunyai cita-cita sedemikian – menunjukkan kempennya menentang Singapura tidak berdasarkan prinsip,” ujar pemerintah.

Dakwaan yang diluahkan Encik Lee Hsien Yang kepada AP itu serupa dengan hujahnya dalam wawancara dengan akhbar Britain, The Guardian, yang diterbitkan pada 22 Oktober.

Dalam respons kepada AP, pemerintah menyatakan Singapura adalah satu-satunya negara Asia Tenggara yang mengadakan pilihan raya secara tetap dan tanpa gagal selepas kemerdekaannya.

Pemerintah Singapura menarik perhatian bahawa Encik Lee Hsien Yang sendiri bebas menyertai politik.

Beliau menyertai parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum 2020 namun berundur pada saat akhir daripada bertanding, dan terus membiayai dan menyokong pembangkang dari jauh, kata pemerintah.

“Encik Lee Hsien Yang bukan mangsa penganiayaan. Beliau dan isterinya kekal sebagai warga (Singapura). Mereka sentiasa bebas untuk kembali ke Singapura,” tambah kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg