Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman jadi Presiden satu perjalanan luar biasa: Presiden Halimah

Apa yang dilakukan sepanjang enam tahun pegang jawatan melebihi aspek istiadat; lawatan negara demi kebaikan negara dan rakyat
Jun 22, 2023 | 1:11 PM
PENGALAMAN BERMAKNA: Presiden Halimah Yacob berkata  perjalanan beliau sebagai Presiden selama enam tahun amat bermakna dan luar biasa.
PENGALAMAN BERMAKNA: Presiden Halimah Yacob berkata perjalanan beliau sebagai Presiden selama enam tahun amat bermakna dan luar biasa. - Foto-foto ST

Pengalaman sebagai Presiden Singapura selama enam tahun adalah satu “perjalanan luar biasa” bagi Presiden Halimah Yacob.

Bercakap kepada media semasa lawatan luar negara terakhir beliau sebagai Presiden, Puan Halimah berkata pengalaman dan peluang bertukar-tukar pengetahuan sepanjang memegang jawatan itu adalah sesuatu yang amat bermakna bagi beliau.

“Saya akan merindui semua peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin dunia, dan berinteraksi dengan warga Singapura dari pelbagai pelosok dunia.

“Ia tidak sama dengan apa yang kita baca di buku. Pertemuan empat mata secara fizikal menjadikan saya seorang insan yang lebih kaya dengan pengetahuan dan pengalaman yang lebih mendalam.

“Ini adalah sesuatu yang amat bermakna bagi saya, terutama apabila ada warga yang sanggup datang hanya untuk bertemu dengan Presiden Singapura. Saya amat tersentuh oleh tindakan mereka,” kata Puan Halimah, yang telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden seterusnya.

Puan Halimah berkata demikian kepada media pada akhir lawatan negara beliau ke Doha, Qatar, pada Khamis. 

Semasa tiba bagi lawatan empat hari itu, Puan Halimah disambut dengan istiadat negara tertinggi Qatar, termasuk diiringi kuda dan unta apabila memasuki istana Amiri Diwan.

Itu adalah satu penghormatan tambahan yang diberi hanya kepada ketua negara khas yang dipilih oleh ketua negara Qatar.

Ketibaan Presiden Halimah di istana Amiri Diwan disambut oleh Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Mengulas tentang 11 lawatan negara yang telah dilakukan beliau, Puan Halimah berkata peranannya selaku presiden mempunyai tiga aspek utama, iaitu bersifat berperlembagaan, terlibat dalam pelantikan, dan istiadat negara.

Namun, baginya, apa yang beliau lakukan sepanjang menjadi Presiden melebihi aspek istiadat.

“Saya juga memastikan bahawa lawatan yang saya lakukan dapat membuahkan hasil positif yang penting, terutama dalam aspek ekonomi bagi kebaikan Singapura dan warga Singapura,” ujarnya.

Semasa lawatan ke Qatar, Puan Halimah menyaksikan penandatanganan empat daripada lima Memorandum Persefahaman (MOU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang yang termasuk tenaga, keselamatan makanan, keselamatan siber, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama teknikal.

Beliau juga melawat beberapa tempat, termasuk Muzium Negara Qatar yang dihoskan pengerusi muzium itu, Cik Sheikha Mayassa Al-Thani; Stadium Lusail, iaitu tempat perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Perancis; serta Ladang Baladna, yang merupakan pengeluar tenusu dan antara ladang lembu terbesar di rantau itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg