Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pihak berkuasa perlu masa nilai kesan limpahan minyak ke atas alam sekitar

Jun 20, 2024 | 2:41 PM
Para pekerja membersihkan limpahan minyak di Pantai Tanjong di Sentosa pada 18 Jun.
Para pekerja membersihkan limpahan minyak di Pantai Tanjong di Sentosa pada 18 Jun. - Foto REUTERS

Kesan limpahan minyak pada 14 Jun meluas dan masih berterusan dan kerana itu pihak berkuasa perlukan masa untuk menilai sepenuhnya kesan terhadap alam sekitar, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

“Kami kemudian perlu memulakan kerja-kerja membaik pulih,” tambahnya.

Encik Lee memberi maklumat terkini mengenai kejadian limpahan minyak di majlis pelancaran persidangan mengenai belangkas – spesies laut asli Singapura – yang dihoskan oleh Persatuan Alam Semula Jadi Singapura (NSS) di Pusat Konvensyen Resorts World di Sentosa pada 19 Jun.

Menurut laporan The Straits Times (ST), persatuan itu bekerjasama dengan kumpulan pakar belangkas Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa untuk menganjurkan acara tersebut.

Perkembangan terbaru itu dibuat selepas ST melaporkan pada 18 Jun bahawa empat burung raja udang yang diselaputi minyak, telah diselamatkan berikutan limpahan minyak, dan dua telah mati.

Orang ramai juga telah melihat haiwan lain yang dilitupi minyak di sepanjang pantai, termasuk memerang dan biawak benggala.

Encik Lee berkata agensi pemerintah di Singapura telah bertindak dengan cepat dan telah bekerjasama rapat untuk menyelaraskan usaha membersihkan dan mengurangkan kesan segera limpahan minyak terhadap persekitaran pantai dan kehidupan marin negara.

Sebagai contoh, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah mengerahkan kapal perondanya ke lokasi kejadian dalam masa 11 minit selepas dimaklumkan dan menyembur larutan kimia untuk mengatasi masalah limpahan minyak.

Pada masa yang sama, badan-badan bukan pemerintah seperti Persatuan Veterinar Singapura, Persekutuan Kanu Singapura dan Dana Kehidupan Liar Sedunia (Singapura) telah tampil menawarkan bantuan, kata Encik Lee.

Menurutnya, lebih 1,500 orang mendaftar sebagai sukarelawan untuk membantu membersihkan limpahan minyak.

Dalam satu catatan Facebook pada 16 Jun, beliau menggesa individu yang berminat membantu kerja-kerja pembersihan supaya mendaftar melalui borang dalam talian.

“Saya berterima kasih atas sokongan padu daripada masyarakat,” katanya.

Namun beliau berkata bahawa demi keselamatan sukarelawan, mereka tidak akan dikerahkan untuk pembersihan pantai.

“Kami faham bahawa ramai yang ingin menyertai dan membantu... Kami mungkin mendapatkan bantuan sukarelawan untuk menjalankan tinjauan habitat dan biodiversiti selepas kejadian, serta usaha pemulihan habitat,” ujar Encik Lee.

Tiada kematian hidupan liar yang ketara di kawasan terjejas seperti Pulau Sekijang Bendera (St John’s) dan Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus) tetapi pakar pemuliharaan berkata mereka berwaspada terhadap kesan jangka panjang ke atas alam semula jadi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg