Kolam ikan tempatan tidak terjejas dengan insiden limpahan minyak pada 14 Jun dan ikan tempatan kekal selamat untuk dimakan, kata Agensi Makanan Singapura (SFA).
Dalam satu catatan Facebook pada 16 Jun, SFA menyatakan risiko limpahan minyak merebak ke Selat Johor di mana ternakan ikan Singapura terletak, didapati rendah.
“Sehingga kini, tiada satu pun kolam ikan kami terjejas oleh limpahan minyak itu dan ikan tempatan kami kekal selamat untuk dimakan,” kata SFA, sambil menambah ia berhubung rapat dengan penternak kolam-kolam itu dan akan terus memantau keadaan dengan teliti.
Limpahan minyak itu adalah akibat insiden pada 14 Jun yang melibatkan sebuah kapal Belanda Vox Maxima dengan kapal tangki minyak Singapura Marine Honor, yang tidak bergerak, di Terminal Pasir Panjang.
Kesan itu menyebabkan keretakan pada salah satu tangki minyak Marine Honor, yang menyebabkan minyak melimpah ke laut.
Dalam perkembangan terkini pada 16 Jun, pihak agensi Singapura yang mengetuai kerja pembersihan limpahan minyak berkata bahawa kapal Vox Maxima yang melanggar kapal tangki minyak di Terminal Pasir Panjang mengalami enjin yang terhenti dan hilang kawalan stereng secara tiba-tiba.
Akhbar The Straits Times (ST) juga melaporkan tiada kematian hidupan liar yang ketara diperhatikan di kawasan yang dilanda minyak di Pulau Sekijang Bendera (St. John’s) dan Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus) pada 16 Jun.
Namun pakar pemuliharaan berkata mereka berjaga-jaga untuk memantau kesan jangka panjang terhadap alam semula jadi kerana ia mungkin mengambil masa bagi melihat impak akibat limpahan minyak itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg