Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong tulis kawat tahniah kepada Modi

Jun 10, 2024 | 3:00 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, (dua dari kiri), pada 5 Jun mengucapkan tahniah kepada Encik Narendra Modi (dua dari kanan) atas “kemenangan bersejarah” dalam pilihan raya India. Mereka bertemu semasa lawatan rasmi Encik Wong ke India pada 2022.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, (dua dari kiri), pada 5 Jun mengucapkan tahniah kepada Encik Narendra Modi (dua dari kanan) atas “kemenangan bersejarah” dalam pilihan raya India. Mereka bertemu semasa lawatan rasmi Encik Wong ke India pada 2022. - Foto fail

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menulis surat untuk mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, atas pemilihan semula beliau baru-baru ini.

Dalam suratnya bertarikh 9 Jun, Encik Wong berkata:

“Sejak 10 tahun yang lalu, anda telah memimpin transformasi luar biasa India dan meningkatkan kehidupan berjuta-juta orang.

“Saya yakin di bawah kepimpinan anda, India akan terus berkembang dan makmur.”

Dalam suratnya itu, Encik Wong berkata bahawa Singapura dan India adalah rakan kongsi strategik yang menikmati hubungan mesra dan pelbagai rupa, lapor The Straits Times.

“Sementara kami menantikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan, kami akan terus bekerjasama rapat untuk meningkatkan perkongsian ini dan mengembangkan kerjasama kami dalam bidang baru seperti pendigitalan, kemahiran dan penjagaan kesihatan.

“Saya berharap dapat bertemu dengan anda sekali lagi dan bekerjasama dengan anda dan pasukan anda untuk mengeratkan lagi hubungan,” ujar Encik Wong.

Beliau juga menyampaikan ucapan selamat kepada Encik Modi agar beliau meraih kesihatan dan kejayaan yang baik.

Dalam satu catatan di platform media sosial X pada 5 Jun, Encik Wong menyifatkan kemenangan Encik Modi – yang memegang jawatan itu bagi penggal ketiga berturut-turut – sebagai kemenangan bersejarah bagi pemimpin negara paling ramai penduduk dunia itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya India pada awal hari itu telah memberikan pengesahan muktamad bahawa parti-parti yang membentuk Perikatan Demokratik Kebangsaan pimpinan Encik Modi telah secara kolektif telah melepasi undi majoriti di Parlimen.

Agensi berita melaporkan keputusan kiraan undi pilihan raya India itu menunjukkan perikatan pimpinan Encik Modi memenangi 286 kerusi, lebih daripada 272 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti.

Kemenangan Encik Modi itu bermakna beliau merupakan perdana menteri kedua di India yang memenangi tiga penggal, selepas perdana menteri pertamanya, mendiang Jawaharlal Nehru.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa pengundi negara itu menghantar mesej jelas selepas parti nasionalis Hindu, yang dipimpin Encik Modi, hilang undi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen untuk kali pertama dalam tempoh sedekad.

Lebih 640 juta pengundi di India telah keluar mengundi dalam pilihan raya maraton yang diadakan dalam tempoh enam minggu, di negara demokrasi terbesar di dunia.

Hampir 970 juta orang – lebih 10 peratus penduduk dunia – layak mengundi.

Menurut data rasmi, purata peratusan yang keluar mengundi adalah 66 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg