Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Tharman: Multilateralisme, kedaulatan antarabangsa bernilai bagi S’pura, Eropah

Jun 27, 2024 | 3:48 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (depan) bersama isterinya Puan Jane Ittogi (di belakangnya) mengadakan lawatan di Pusat  Arvo Part di Tallinn, Estonia, pada 26 Jun.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (depan) bersama isterinya Puan Jane Ittogi (di belakangnya) mengadakan lawatan di Pusat Arvo Part di Tallinn, Estonia, pada 26 Jun. - Foto ZAOBAO

Seperti Singapura, banyak negara Eropah melihat nilai dalam hubungan berbilang hala dan menegakkan undang-undang antarabangsa dalam dunia yang menyaksikan prinsip ini dicabar, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 26 Jun.

Berfikiran sama dengan pegangan ini menjadi sebab mengapa negara-negara ini melihat nilai dalam hubungan dengan Singapura, dan mengapa Singapura harus terus terlibat rapat dengan mereka, tambahnya.

Tuan Presiden dipetik The Straits Times sebagai menyatakan bahawa perkara ini terserlah semasa lawatannya ke Italy, Finland dan Estonia baru-baru ini, di mana para pemimpin negara berkenaan menyatakan penghargaan terhadap perspektif Singapura, serta pendiriannya terhadap kedaulatan undang-undang.

“Mereka menghargai perspektif kami tentang isu global, termasuk bagaimana dunia menguruskan peralihan kepada multipolariti dalam hal ekonomi, dan menyesuaikan diri dengan fakta bahawa China dan dunia yang sedang pesat membangun akan menyerlah,” ujar beliau.

Mereka mendengar pandangan Singapura, dan mahu memastikan mereka sendiri tidak terjerumus ke dalam satu kem kuasa besar atau yang lain, tambahnya. “Mereka melihat kepentingan mereka untuk terus terlibat rapat dengan semua rantau utama dunia, termasuk China.”

Bercakap kepada pemberita di luar lawatannya ke pusat muzik dan kebudayaan Estonia, Tuan Presiden menyatakan bahawa multilateralisme tidak seteguh dahulu, dan kedaulatan undang-undang antarabangsa sedang dicabar.

Singapura perlu terus terlibat dengan Eropah walaupun konfigurasi kuasa domestik di rantau itu terus berubah dalam cara yang tidak dapat diramalkan, katanya.

Beliau menyatakan bahawa Eropah juga sedang menangani isu-isu yang sangat penting berkaitan dengan daya saing ekonomi.

“Perdebatan yang mereka adakan akan menentukan sama ada mereka bergerak lebih jauh untuk melengkapkan pasaran bersama mereka, ke arah sistem di mana syarikat boleh membangunkan skala yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global, atau sama ada mereka mengekalkan kedaulatan penting untuk negara anggota mereka,” tambah Tuan Presiden.

Tanpa mengira perubahan ini, Eropah menghargai keperluan untuk mempelbagaikan hubungan ekonomi dan mengelak daripada berakhir dalam dunia yang terpisah, tambahnya.

Presiden Tharman memulakan kunjungan ke Italy pada 22 Jun dengan menghadiri sesi pleno Kumpulan 30 (G-30) dan bertemu Paus Francis. Tuan Presiden juga menghadiri Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air (GCEW) dan bertemu rakan sejawatannya dari Italy, Presiden Sergio Mattarella.

Dari Italy, beliau berkunjung ke Estonia pada 25 Jun dan disambut oleh rakan sejawatannya dari Estonia, Encik Alar Karis, yang menganjurkan jamuan untuknya. Tuan Presiden juga mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri negara itu, Cik Kaja Kallas.

Pada hari kedua, beliau melawat pejabat syarikat start-up atau pemula Estonia.

Menurut laporan State of European Tech 2022, Estonia mendahului Eropah dengan bilangan syarikat pemula per kapita tertinggi.

Estonia serupa dengan Singapura dalam erti kata mereka terpaksa membuat keputusan berani untuk membezakan diri mereka daripada negara-negara lain, ujar Tuan Presiden.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg