TALLINN (Estonia): Singapura dan Estonia secara geografi, terletak berjauhan tetapi berkongsi banyak persamaan, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 25 Jun.
“Kami berfikiran sama. Kami adalah dua negara kecil dan terbuka, yang menerima pendidikan dan inovasi sebagai cara untuk memberi rakyat peluang terbaik dalam hidup,” kata Tuan Presiden pada jamuan yang dianjurkan untuk menghormati lawatannya oleh rakan sejawatannya dari Estonia, Encik Alar Karis.
Kedua-dua negara bersemangat untuk bekerjasama dengan negara lain dan berusaha menjalin hubungan kerjasama untuk mengukuhkan kebaikan awam global, dan bukan didorong oleh kepentingan nasional segera, tambahnya yang dipetik The Straits Times.
“Kami berdua tidak berkompromi dalam advokasi kami terhadap sistem antarabangsa berasaskan peraturan yang mentadbir perdagangan dan pelaburan serta kebebasan politik dan integriti wilayah semua negara, besar dan kecil,” ujar Tuan Presiden.
Beliau berada di Estonia dalam rangka lawatan rasmi dua hari. Ini adalah lawatan pertama beliau ke Estonia sebagai presiden Singapura.
Sebelum pergi ke Estonia, Tuan Presiden bertemu rakan sejawatannya dari Italy, Encik Sergio Mattarella, serta Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, pada 24 Jun.
Tuan Presiden juga dihos Presiden Finland, Encik Alexander Stubb, untuk sarapan pagi, semasa beliau transit di sana dalam perjalanan antara Italy dengan Estonia.
Dalam mesyuarat peribadi dengan Encik Karis di Istana Presiden, mereka membincangkan potensi bekerjasama antara kedua-dua negara, seperti menggalak syarikat meneroka peluang dalam pasaran masing-masing.
Tuan Presiden juga meletakkan kalungan bunga di Monumen Perang Kemerdekaan sebelum bertemu Perdana Menteri Estonia, Cik Kaja Kallas.
Di majlis jamuan itu, Encik Karis berkata: “Ekosistem kami yang dinamik dan digital menjadikan kami pintu masuk terbaik ke rantau masing-masing dan seterusnya, membuka jalan bagi teknologi, idea dan kerjasama baru.”
Beliau menambah bahawa terdapat peluang besar untuk syarikat Estonia dan Singapura, terutama dalam bidang ketenteraan seperti keselamatan siber, pertahanan dan teknologi.
Encik Karis berkata: “Singapura dan Estonia adalah kecil, tetapi wawasan dan kemahiran kami untuk memenuhinya diakui secara meluas. Kami telah menunjukkan bahawa negara-negara kecil bukan sahaja boleh wujud tetapi (juga) berkembang maju dan hidup dalam landskap global.”
Tuan Presiden berkata: “Kami, di Singapura, telah menyaksikan perkembangan pesat Estonia dengan penuh kagum. Dalam masa kurang daripada 35 tahun, anda telah meraih banyak pencapaian.”
Beliau berkata kedua-dua negara adalah rakan yang agak baru, setelah menjalin hubungan hanya pada tahun 1993, tetapi dengan cepat menebus masa yang hilang.
Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Ehwal Luar Singapura berkata pertemuan Tuan Presiden dengan kedua-dua pemimpin Estonia mengesahkan hubungan yang semakin erat antara Singapura dengan Estonia, termasuk dalam bidang seperti pendidikan, keselamatan siber dan peralihan hijau.
Mereka juga bincangkan perkembangan serantau dan global, seperti peranan yang dimainkan oleh kedua-dua Singapura dan Estonia sebagai negara kecil dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang antarabangsa, dan keperluan mengelakkan perpecahan progresif ekonomi global.
Estonia mengisytiharkan semula kemerdekaan daripada pemerintahan Kesatuan Soviet pada 1991.
Tuan Presiden akan kembali ke Singapura pada 27 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg