Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan dua hala S’pura-Italy makin erat: Presiden Tharman

Jun 25, 2024 | 4:29 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (tengah) dan isteri, Puan Jane Ittogi, bertemu sekumpulan warga Singapura yang berada di Rome dalam satu majlis jamuan pada 23 Jun.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (tengah) dan isteri, Puan Jane Ittogi, bertemu sekumpulan warga Singapura yang berada di Rome dalam satu majlis jamuan pada 23 Jun. - Foto MCI

Hubungan Singapura dengan Italy telah terjalin selama beberapa dekad – hubungan diplomatik antara dua negara itu terjalin sejak Singapura mencapai kemerdekaan pada 1965, dan berterusan hari ini dalam bentuk kerjasama ekonomi.

Hari ini, pelbagai syarikat Singapura berminat dan aktif menjalankan perniagaan di Italy, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 23 Jun dalam satu majlis jamuan bersama sekumpulan warga Singapura yang berada di Rome.

Contohnya, pengendali pelabuhan PSA kini mengendali dua terminal kontena terbesar di Genoa dan Venice, manakala Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) mempunyai pelbagai pelaburan besar di Italy, termasuk sebuah pusat data yang beroperasi dengan menggunakan sepenuhnya tenaga boleh diperbaharui di Milan, kata beliau.

Dua negara tersebut juga sedang mengeratkan lagi hubungan dalam bidang sains dan teknologi, lapor The Straits Times (ST).

Pada 2023, Program Eksekutif bagi Kerjasama Saintifik dan Teknologi menyaksikan projek dalam bidang seperti teknologi makanan dan kecerdasan buatan (AI) diketuai bersama oleh penyiasat utama (PI) dari Italy dan Singapura.

STMicroelectronics, sebuah syarikat Perancis-Italy, juga merupakan pemain utama dalam sektor elektronik Singapura selama beberapa dekad sejak tahun 70-an.

Tuan Tharman berkata: “Ia adalah hubungan yang telah lama terjalin, tetapi ia kini disegarkan dan diperbaharui. Kami sedang memperdalam hubungan kami.”

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis jamuan tersebut, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Italy.

Majlis jamuan tersebut dihadiri sekitar 30 warga Singapura yang tinggal, belajar atau melancong di Italy.

Menurut lelaman Kedutaan Italy di sini, terdapat lebih 5,000 warga Italy yang tinggal dan bekerja di Singapura, dan masyarakat tersebut terus meningkat.

Tuan Tharman bertemu Paus Francis pada 22 Jun, dan turut menghadiri Sesi Pleno Kumpulan 30 (G-30) di mana beliau bercakap sebagai anggota panel mengenai masa depan dasar fiskal.

Tuan Tharman adalah pengerusi lembaga pemegang amanah G-30.

Beliau juga menghadiri satu mesyuarat Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air (GCEW). Beliau adalah seorang daripada empat pengerusi bersama GCEW.

GCEW meneliti dan membuat pelbagai saranan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan forum antarabangsa lain mengenai cara masyarakat pelbagai negara mentadbir dan menggunakan air.

Pada 24 Jun, beliau membuat satu lawatan rasmi untuk bertemu Presiden Italy, Encik Sergio Mattarella, dan Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni.

Tuan Tharman berkata: “Ini adalah masa penting untuk berada di Italy. Kita kini menghadapi masa yang sangat tidak menentu, dengan beberapa peperangan besar berterusan tanpa henti, dan mengakibatkan kos kemanusiaan yang besar.”

Beliau akan melawat Estonia pada 25 Jun atas jemputan Presiden Estonia, Encik Alar Karis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg