Presiden Tharman Shanmugaratnam bertemu Paus Francis di Holy See di Rome pada 22 Jun.
Tuan Presiden berada di ibu negara Italy itu bagi Pleno Kumpulan 30 (G30) yang dihoskan oleh Banca d’Italia, dan akan mempengerusikan bersama satu mesyuarat Suruhanjaya Global mengenai Ekonomi Air (GCEW) dari 20 hingga 23 Jun.
Dari 24 hingga 26 Jun, beliau akan mengadakan lawatan rasmi ke Italy dan Estonia, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu catatan Facebook pada 22 Jun, Tuan Presiden berkata Paus Francis menjelaskan mengenai pentingnya “menghentikan peperangan dan konflik di dunia, serta penderitaan besar terhadap manusia yang terus timbul”.
Mereka juga membincangkan mengenai keharmonian antara agama, sesuatu yang “lebih penting kini daripada sebelum ini”, kata beliau.
Tuan Presiden menambah: “Saya berkongsi mengenai usaha berterusan Singapura untuk memelihara keharmonian antara pelbagai agama kita, melalui penglibatan kepimpinan dan pelbagai kegiatan dalam masyarakat.”
Singapura menanti untuk mengalu-alu kedatangan Paus Francis semasa lawatan negaranya ke sini pada September, tambahnya.
Paus Francis, 87 tahun, akan mengadakan lawatan sulungnya ke Singapura dari 11 hingga 13 September.
Semasa lawatan di Holy See, Tuan Presiden dan Paus Francis turut bertukar hadiah.
Awal dari ini, kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata yang Tuan Presiden akan membuat lawatan rasmi ke Italy dan Estonia, masing-masing atas jemputan Presiden Italy, Encik Sergio Mattarella, dan Presiden Estonia, Encik Alar Karis.
Semasa lawatan ke Estonia pada 25 dan 26 Jun, Tuan Presiden akan diberi sambutan istiadat dan bertemu Presiden Karis; Perdana Menteri Estonia, Cik Kaja Kallas; dan Presiden Riigikogu (Parlimen Estonia), Encik Lauri Hussar.
“Beliau juga akan bertemu dengan perusahaan Estonia yang terlibat dalam inisiatif kemampanan,” jelas kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg