KHERSON (Ukraine): Sekitar 42,000 orang kini berdepan dengan risiko banjir di kawasan yang dikuasai Russia dan Ukraine di sepanjang Sungai Dnipro selepas sebuah empangan besar pecah, kata pegawai Ukraine.
Serangan ke atas empangan di selatan Ukraine yang dikuasai tentera Russia itu menyebabkan air melimpah-ruah sehingga membanjiri dua dozen kampung dan memaksa kerja-kerja menyelamat ribuan penduduk terjejas segera dijalankan.
Banjir yang melanda dijangka mencapai kemuncaknya sehari dua ini.
Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan hilang selepas air dari empangan berkenaan membanjiri kawasan berdekatan, lapor agensi berita Russia Tass yang menukil mayor bandar Nova Kakhovka, yang dilantik pihak Russia semalam.
Ukraine dan Russia saling menyalahkan satu sama lain atas punca musibah yang berlaku itu di tengah-tengah amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran mengenai kesan banjir itu dijangka amat buruk.
Empangan Kakhovka terletak di barisan depan konflik dan menyediakan bekalan air sejuk kepada loji nuklear terbesar di Eropah di wilayah Zaporizhzhia.
Kyiv menyatakan kemusnahan empangan yang ditawan tentera Russia pada peringkat awal peperangan tercetus merupakan satu percubaan Moscow mematahkan serangan ofensif yang disifatkan pemimpin Ukraine sebagai tidak memberi sebarang kesan.
Russia pula berkata Ukraine sedang berusaha mengalihkan perhatian daripada pelancaran serangan balas yang disifatkan Moscow sebagai goyah.
Para penduduk di Kherson, petempatan penduduk terbesar di sekitar empangan, terpaksa mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi sedang air mencurah masuk ke Sungai Dnipro.
Bandar yang menyaksikan pertempuran sengit dalam 2022 itu terletak 60 kilometer ke hilir empangan tersebut dan paras air telah naik sebanyak 3.5 meter kelmarin.
“Dulu berlaku tembak-menembak dan sekarang banjir,” kata Cik Lyudmyla, yang dilihat sedang memasukkan mesin pembasuhnya ke dalam sebuah kereta lama buatan Soviet.
“Perabot, peti ais, makanan, bunga semuanya terapung... saya tak tahu apa nak buat,” kata Cik Oskana, 53 tahun, ketika ditanya mengenai keadaan rumahnya.
Tiada sebarang kematian dilaporkan tetapi Encik John Kirby, jurucakap Majlis Keselamatan Nasional Rumah Putih, menyatakan banjir buruk yang berlaku itu mungkin telah meragut banyak nyawa.
Ketua bantuan PBB, Encik Martin Griffith, memberitahu Majlis Keselamatan bahawa empangan pecah itu akan meninggalkan kesan buruk ke atas ribuan penduduk di selatan Ukraine dan menyebabkan kemusnahan harta benda, bekalan makanan, air minuman dan kehidupan mereka.
“Kesan sebenar malapetaka yang berlaku ini hanya dapat dilihat pada hari-hari mendatang,” tambahnya.
Pihak berkuasa Ukraine menyatakan sekurang-kurangnya 17,000 orang telah dipindahkan dan sejumlah 24 kampung ditenggelami air.
“Lebih 40,000 orang kini diambang bahaya dilanda banjir,” kata pendakwa raya, Encik Andriy Kostin, sambil menambah bahawa lagi 25,000 orang perlu segera dipindahkan dari kawasan yang diduduki Russia di Sungai Dnipro. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg