Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sarang pertama penyu sisik ditemui di Taman East Coast

Jul 4, 2024 | 4:49 PM
Penyu sisik biasanya bertelur lebih 100 biji dalam setiap sarang. Telurnya mengambil masa kira-kira 55 hari untuk menetas, dan anak-anak penyu akan muncul dalam dua kelompok.
Penyu sisik biasanya bertelur lebih 100 biji dalam setiap sarang. Telurnya mengambil masa kira-kira 55 hari untuk menetas, dan anak-anak penyu akan muncul dalam dua kelompok. - Foto fail

Sarang telur penyu sisik yang sangat terancam telah ditemui di Taman East Coast - yang pertama sejak kejadian limpahan minyak seberat 400 tan pada 14 Jun yang merosakkan pantai Singapura.

Menurut The Straits Times, dengan musim bertelur penyu yang berterusan, dari sekitar Mei hingga Oktober, para penyelidik berharap dapat mengkaji kesan tumpahan minyak ke atas anak penyu dan telur penyu tahun ini.

Lembaga Taman Negara (NParks) mengesahkan bahawa ia telah dimaklumkan mengenai sarang itu pada 23 Jun, dan telah mengepungnya untuk melindungi telur di dalamnya daripada haiwan pemangsa.

“Kami akan terus memantau sarang itu untuk menilai keadaannya dan menentukan anggaran tarikh menetas,” kata Dr Karenne Tun, pengarah di Pusat Biodiversiti Nasional NParks.

Penyu sisik adalah salah satu daripada dua spesies penyu laut, selain penyu hijau, yang boleh ditemui di perairan Singapura.

Penyu betina datang ke pantai berpasir Taman East Coast dan Kepulauan Selatan untuk bertelur semasa musim bersarang tahunan.

Penyu sisik biasanya bertelur lebih 100 biji dalam setiap sarang. Telurnya mengambil masa kira-kira 55 hari untuk menetas, dan anak-anak penyu akan muncul dalam dua kelompok. Nalurinya akan mendorongnya kembali ke laut selepas itu.

Encik Bernard Seah, seorang jurugambar hidupan liar dan pemuliharaan, berkata tidak mungkin limpahan minyak itu akan memberi kesan segera kepada sarang penyu berkenaan.

Antara sebabnya adalah sebahagian besar selaput minyak tebal telah dibersihkan dari pantai sebelum sarang itu ditemui.

“Selain itu, penyu sisik biasanya bersarang di pantai tinggi di luar zon pasang surut, yang merupakan kawasan yang terjejas oleh limpahan minyak,” kata Encik Seah.

Beliau menambah bahawa tidak terdapat keperluan memindahkan sarang itu ke tempat penetasan.

Singapura mempunyai tempat penetasan penyu di Taman Laut Sisters’ Island, tempat sarang yang ditemui di tapak yang tidak sesuai dipindahkan.

Penolong Profesor Kim Hie Lim, dari Sekolah Alam Sekitar Asia dan Pusat Kejuruteraan Sains Hayat Alam Sekitar Singapura (SCELSE), yang telah menjalankan kajian mengenai penyu bersarang di Singapura sejak 2019, berharap dapat mengkaji kesan limpahan minyak terhadap penetasan dan telur.

Untuk berbuat demikian, beliau akan mengumpul air, pasir, dan sampel telur yang belum menetas.

Menurutnya, tompokan minyak yang terkumpul boleh menjejas keadaan fizikal anak penyu dan menyebabkan ia terperangkap,” kata Profesor Kim.

Jurucakap NParks berkata orang ramai perlu menghubungi talian bantuan agensi itu di 1800-471-7300 jika mereka menemui sarang penyu di pantai Singapura.

Mereka juga harus menjaga jarak dan jangan menyalakan lampu ke arah penyu serta mengelak daripada menyentuh telur, kerana ia boleh merosakkannya.

Pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa kesan limpahan minyak ke atas ekosistem marin dan pantai mungkin muncul hanya beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian.

Setakat ini, tompokan minyak telah dikesan di habitat sensitif di Rizab Semula Jadi Labrador, di Sentosa dan beberapa bahagian di Kepulauan Selatan.

Untuk merancang pemulihan ekologi, komuniti alam semula jadi dan saintis akan terus memantau biodiversiti marin dan melakukan penilaian impak limpahan minyak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg