Kini muncul trend warga asing dihantar ke Singapura oleh sindiket untuk melakukan penipuan kad kredit, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peruncit yang menjadi sasaran mereka.
Sindiket itu dipercayai mencuri butiran kad kredit mangsa di sini melalui beberapa siri penipuan e-dagang.
Butiran itu kemudian dimuatkan ke aplikasi mudah alih yang boleh dikawal dari jauh dan digunakan untuk pembayaran tanpa sentuh, lapor The Straits Times.
Warga asing, dipercayai direkrut di negara asal mereka melalui platform mesej sosial, kemudian diarah masuk ke Singapura dan membeli barangan seperti telefon bimbit mahal, aksesori elektronik dan jongkong emas melalui pembayaran tanpa sentuh tersebut.
Mereka kemudian akan menjual barang-barang tersebut secara tunai.
Terdapat beberapa kes sebegini sejak sebulan lalu dengan modus operandi yang sama, tetapi membabitkan warga asing berlainan negara.
Sejak 4 November, sekurang-kurangnya 10 mangsa telah melaporkan transaksi tanpa kebenaran berjumlah lebih $100,000 pada kad kredit mereka untuk pembelian produk elektronik seperti iPhone dan pengecas, dan barang kemas di Singapura.
Polis menahan tiga warga China berusia antara 29 dengan 36 tahun pada 6 dan 7 November kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket rentas sempadan.
Wang tunai berjumlah lebih $20,000, empat jongkong emas dan 27 iPhone dirampas dalam kes itu.
Pada 8 November, Zhang Tianyu, 29 tahun; Xu Zhaochen, 36 tahun; dan Li Xueqi, 36 tahun, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan menipu.
Mereka didakwa melakukan penipuan kad kredit dengan membeli iPhone daripada Apple Store di Orchard Road.
Polis telah membawa ketiga-tiga lelaki itu ke kedai penjual semula Apple iStudio di Bugis Junction pada 14 November.
Mereka dikawal ketat dan disoal siasat oleh polis di tempat tersebut.
Siasatan terhadap orang keempat, Zhao Yongzhi, sedang dijalankan.
Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki dan wanita warga Malaysia pada 8 November.
Polis berkata kedua-dua mereka menyahut tawaran iklan wang tunai pantas di media sosial.
Tiga telefon bimbit, resit bank dan wang tunai berjumlah $7,600 dirampas daripada mereka.
Pada 9 November, Quek Jian Qing, 21 tahun, dan Yong Huo Ying, 24 tahun, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan menipu.
Kedua-duanya didakwa bersubahat untuk melakukan penipuan kad kredit untuk membeli iPhone di cawangan Best Denki di Parkway Parade.
Kelima-lima suspek masih ditahan reman dan kes mereka akan didengar lagi pada 15 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg