Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usul beri polis kuasa sekat bank pindah wang kepada penipu

Langkah lindungi mangsa yang tidak percaya mereka ditipu dalam talian
Nov 11, 2024 | 6:00 PM
Rang Undang-Undang Perlindungan untuk Penipuan bakal memberikan kuasa kepada polis melindungi mangsa penipuan, walaupun mereka enggan mempercayai bahawa mereka sedang ditipu.
Rang Undang-Undang Perlindungan untuk Penipuan bakal memberikan kuasa kepada polis melindungi mangsa penipuan, walaupun mereka enggan mempercayai bahawa mereka sedang ditipu. - Foto fail

Polis akan mempunyai kuasa lebih luas untuk melindungi mangsa penipuan, walaupun mereka tidak percayai mereka sedang ditipu, jika satu rang undang-undang diluluskan Parlimen.

Di bawah Rang Undang-Undang Perlindungan untuk Penipuan itu, polis boleh mengeluarkan Arahan Sekatan (RO) ke atas bank untuk menyekat urus niaga perbankan individu, jika ada kepercayaan munasabah individu tersebut akan membuat pemindahan wang kepada penipu.

Rang itu, yang diperkenalkan di Parlimen pada 11 November oleh Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, bertujuan melindungi individu terdedah daripada kehilangan wang kepada penipu.

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), lazimnya mangsa terjebak dalam kes seperti penipuan pelaburan, penipuan cinta dan penipuan penyamaran pegawai pemerintah (Gois).

MHA berkata jumlah kes penipuan meningkat hampir lima kali ganda daripada kira-kira 9,500 kepada kira-kira 46,600 kes dari 2019 hingga 2023. Pada 2023 sahaja, kira-kira $650 juta lesap akibat penipuan. Untuk menangani kes-kes itu, pemerintah bekerjasama dengan bank untuk menyediakan perlindungan bagi orang ramai.

Ini termasuk Kill-Switch, yang membolehkan pelanggan membekukan akaun bank mereka jika mereka mengesyaki akaun mereka terjejas, dan Money Lock, yang membolehkan pelanggan mengetepikan sejumlah wang yang tidak boleh dipindahkan daripada akaun bank mereka secara dalam talian.

Namun, di sebalik perlindungan dan usaha pendidikan awam meluas, bilangan kes penipuan melibatkan pemindahan wang secara sukarela oleh mangsa kepada penipu kekal tinggi.

“Pada separuh pertama 2024, 86 peratus penipuan yang dilaporkan adalah hasil daripada pemindahan yang dilakukan sendiri. Penipu tidak ada kawalan langsung ke atas akaun mangsa, tetapi mereka mempergunakan mangsa supaya memindahkan wang kepada mereka.

“Dalam beberapa kes, mangsa diberitahu polis, bank atau ahli keluarga bahawa mereka ditipu, tetapi mereka meneruskan pemindahan wang,” kata MHA.

Pada masa ini, polis tidak mempunyai kuasa menghalang mangsa memindahkan wang mereka kepada penipu jika mereka berkeras berbuat demikian. Jika rang itu diluluskan, polis boleh mengeluarkan RO jika ada sebab untuk mempercayai bahawa individu tersebut akan melaksanakan pemindahan wang kepada penipu, dan jika ada keperluan melindungi individu itu.

Ahli keluarga dan rakan yang mengesyaki orang tersayang menjadi mangsa penipuan boleh membuat laporan kepada polis, yang akan mengambil kira fakta relevan yang diberi oleh individu itu atau ahli keluarganya dalam membuat keputusan sebelum mengeluarkan RO.

Polis akan hanya mengeluarkan RO bagi kes penipuan. Kes penipuan tradisional melibatkan interaksi secara peribadi seperti pemindahan wang kepada kontraktor ubah elok yang salah, atau kepada ahli keluarga atau rakan tidak akan dilindungi.

Bagi individu dikenakan RO, polis akan menyediakan mekanisme untuk mereka mendapat akses kepada wang mereka atas alasan sah, seperti membayar bil dan membeli makanan. RO akan berkuat kuasa maksimum 30 hari pada satu-satu masa. Jika lebih banyak masa diperlukan untuk melaksanakan campur tangan yang diperlukan, polis boleh melanjutkan RO hingga 30 hari pada satu-satu masa, hingga maksimum lima kali.

Jika dinilai individu tersebut tidak lagi berisiko ditipu, polis boleh membatalkan setiap RO lebih awal dari had 30 hari. MHA berkata individu yang tertakluk pada RO boleh merayu kepada Pesuruhjaya Polis terhadap keputusan pegawai polis mengeluarkan RO, yang akan diputuskan dengan cepat, dan keputusannya muktamad.

Sementara itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, membentangkan Rang Undang-Undang Trafik Jalan Raya (Pelbagai Pindaan) bagi menentukur semula keseimbangan antara pencegahan dengan perkadaran bagi kesalahan Akta Trafik Jalan Raya.

Parlimen juga membahas dan meluluskan beberapa rang, termasuk Rang Undang-Undang Skim MediShield Hayat (Pindaan) dan Rang Undang-Undang Insentif Pengembangan Ekonomi (Pelepasan daripada Cukai Pendapatan) (Pindaan).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg