Sekurang-kurangnya 74 orang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan baru yang berkaitan kegiatan keldai wang berkaitan penipuan, yang diperkenalkan dengan pindaan Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) 1992 (CDSA) dan Akta Penyalahgunaan Komputer 1993 (CMA) dan yang berkuat kuasa pada 8 Februari 2024.
Pindaan itu memberi kuasa kepada polis bertindak dengan lebih berkesan terhadap mereka yang menyalah guna atau membenarkan orang lain menyalahgunakan akaun bank dan kelayakan Singpass mereka.
Menurut kenyataan akhbar oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 4 November, antara 9 September dengan 1 November 2024, sekurang-kurangnya 59 lelaki dan 15 wanita, berusia antara 18 dengan 59 tahun, telah didakwa di mahkamah bagi kesalahan tersebut.
Untuk meningkatkan pencegahan, Panel Penasihat Hukuman menerbitkan Garis Panduan untuk Kesalahan Berkaitan Penipuan pada 21 Ogos 2024, yang mengesyorkan hukuman penjara ketara sebagai norma untuk kesalahan berkaitan penipuan yang melibatkan penyerahan akaun bank secara menyalahi undang-undang dan pendedahan kelayakan Singpass tanpa kebenaran.
Garis panduan itu juga mengesyorkan bahawa hukuman penjara dan latihan pemulihan harus dipertimbangkan, meski ke atas pesalah muda, kecuali untuk pesalah juvana yang ditangani dalam Mahkamah Belia.
Siasatan mendedahkan bahawa individu ini didakwa telah melepaskan atau menjual akaun bank dan/atau bukti kelayakan Singpass mereka dan membolehkan penjenayah sindiket melakukan pengubahan wang haram.
Ada yang didakwa menipu bank untuk membuka akaun bank peribadi dan menyerahkan kad ATM dan kelayakan iBanking akaun itu kepada orang-orang tidak dikenali.
Yang lain didakwa telah mendedahkan kelayakan Singpass mereka dan membolehkan sindiket jenayah menyalahgunakan identiti mereka untuk membuka akaun bank.
Dalam satu kes, pesalah menerima RM1,000 (kira-kira $301) untuk berkongsi butiran akaun perbankan Internet dan kata laluan sekali guna (OTP) akaun bank peribadinya dengan orang lain tanpa mengambil langkah munasabah untuk memastikan tujuan orang itu mengakses akaun tersebut.
Akaun bank itu kemudiannya digunakan untuk mengubah secara haram lebih $160,000 hasil perlakuan jenayah.
Pesalah itu telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda $306 untuk membayar kembali keuntungan hasil daripada pengaturan haram itu.
Pesalah yang melepaskan akaun bank atau kelayakan Singpass mereka membolehkan sindiket melakukan penipuan mereka dan mengubah hasil jenayah mereka.
Polis memandang serius kesalahan seperti ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg