Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan melanjutkan skim Tanggungjawab Lanjutan Pengeluar (EPR) bagi pengurusan sisa elektronik (e-sisa) untuk mengendalikan sisa bungkusan dengan lebih baik.
Sebagai fasa pertama skim EPR bagi pengurusan sisa bungkusan, NEA telah bekerjasama dengan industri pengurusan sisa untuk melaksanakan skim pulangan bekas minuman menjelang 2025.
NEA juga sedang menyelidiki skim EPR untuk mengurus lain jenis sisa bungkusan selain bekas minuman dan baru-baru ini menawarkan tender rundingan untuk menyemak amalan terbaik dan menyarankan skim EPR yang bersesuaian dengan konteks Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, di sebuah acara E-sisa Antarabangsa pada 14 Oktober.
Acara tersebut diadakan sempena Hari E-Sisa Antarabangsa anjuran NEA dan ALBA di Hab Toa Payoh.
Pendekatan EPR telah diperkenal pada 2021 bagi memastikan pengendalian dan pengekstrakan sumber yang betul dari e-sisa. Ini akan memastikan pengeluar menjadi lebih bertanggungjawab terhadap pengumpulan dan rawatan e-sisa mereka.
NEA telah melantik Kitaran Bijak E-Sisa ALBA (ALBA) sebagai pengendali skim tanggungjawab pengeluar atau pengendali PRS untuk mengumpul e-sisa pengguna di merata Singapura dan menghantarnya untuk dikitar semula bagi pihak pengeluar.
Para pengguna boleh meletakkan e-sisa dengan mudah di hampir 800 pusat pengumpulan e-sisa yang terletak di tempat-tempat mudah diakses di merata Singapura seperti kedai runcit elektronik, pusat membeli-belah, pusat masyarakat, pasar raya dan bangunan pemerintah serta komersial.
ALBA juga telah menganjurkan sesi pengumpulan sisa yang dijadualkan di estet-estet perumahan setiap suku bagi memberi lebih kemudahan kepada penduduk.
Pada awal tahun ini, NEA menganjurkan satu tinjauan untuk mengetahui tahap kesedaran berkenaan kutipan e-sisa di bawah skim EPR. Salah satu hasil daripada tinjauan itu menunjukkan bahawa kesedaran pengguna terhadap perkhidmatan Pengambilan Semula Satu untuk Satu (One-for-One Takeback) yang ditawarkan semua peruncit elektronik di bawah skim EPR agak rendah.
Peruncit yang menawarkan perkhidmatan pengambilan semula itu akan mengumpul peralatan lama yang tidak diingini dan menghantar peralatan itu untuk dikitar semula secara percuma apabila mereka menghantar peralatan baru ke rumah pengguna.
NEA sedang bekerjasama dengan ALBA untuk meningkatkan kesedaran bagi perkhidmatan Pengambilan Semula Satu untuk Satu melalui program jangkauan dan komunikasi tambahan.
Menurut Dr Khor lagi, beliau berbesar hati mendapat tahu bahawa ALBA telah mengumpul melebihi 12,000 tan e-sisa sejak skim EPR dilaksanakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg