Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

S’pura, Vietnam meterai perjanjian baru pertingkat kerjasama ekonomi

Antaranya termasuk tiga MOU baru dalam bidang pertukaran bakat inovasi, prasarana dan membangun kemahiran
Aug 28, 2023 | 05:16 PM




Hubungan ekonomi Singapura dan Vietnam diperkukuhkan lagi dengan pemeteraian tujuh perjanjian dan kerjasama baru serta dipertingkatkan antara kededua negara. 

Tiga perjanjian memorandum persefahaman (MOU) baru yang meliputi bidang pertukaran bakat inovasi, prasarana dan pembangunan kemahiran, telah ditandatangani oleh wakil dari kededua pihak dan disaksikan oleh Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh, dalam satu majlis di Pejabat Pemerintah Hanoi, pada Isnin. 

Empat perjanjian dan kerjasama lain – antaranya termasuk MOU diperbaharui berkaitan kerjasama pendidikan, Surat Niat (LOI) berkenaan kredit karbon serta Perjanjian Rangka Kerjasama Kesalinghubungan (CFA) Dipertingkatkan – akan meluaskan skop kerjasama ekonomi dua hala. 

Perjanjian itu dijalin sebagai sebahagian acara lawatan rasmi tiga hari Encik Lee ke Hanoi sejak Ahad. 

Mengulas, Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, yang mewakili Singapura untuk memeterai beberapa perjanjian, berkata:

“Pemeteraian perjanjian ini, yang disaksikan oleh pemimpin dari Singapura dan Vietnam, mengisyaratkan komitmen kededua negara untuk membina kerjasama lebih kukuh dalam bidang baru, iaitu ekonomi hijau, ekonomi digital dan inovasi. 

“Kami akan terus bekerja rapat dengan rakan-rakan sejawatan kami untuk mencipta saluran baru dan lebih banyak peluang untuk perniagaan dan rakyat kita.”

Dalam acara itu, Dr Tan memeterai MOU baru dengan Menteri Perancangan dan Pelaburan Vietnam, Encik Nguyen Chi Dzung, bagi Program Pertukaran Bakat Inovasi (ITX).







Di bawah MOU itu, karyawan Singapura yang mencari kerja dalam bidang berkaitan inovasi di Vietnam dan sebaliknya kini mempunyai lebih banyak peluang berbuat demikian. Ini kerana perjanjian itu akan membantu melengkapi bakat kededua negara yang memiliki kemahiran dan pengalaman untuk merebut peluang menarik.

“Kededua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan bertindak bersama bagi menyokong pelaksanaan MOU. 

“Lebih banyak butiran seperti kriteria kelayakan dan proses permohonan bagi program ITX akan diberikan nanti,” ujar kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI). 

Satu lagi MOU yang dimeterai Dr Tan ialah bagi menggalak perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam pembangunan kemahiran dan pekerja yang meliputi bidang seperti penggunaan teknologi bagi membaiki latihan dalam talian. 

MOU ketiga baru yang dijalin ialah kerjasama antara Singapura dengan Bandar Ho Chi Minh dalam pembangunan bandar mapan dan prasarana. 

Bidang kerjasama ekonomi dua hala juga diperluaskan apabila Dr Tan bertukar surat dengan Encik Dzung bagi mempertingkatkan CFA – yang pertama dilakukan sejak ia ditandatangani pada 2005. 

Ini bermakna bidang kerjasama dua hala diluaskan daripada enam sektor kepada 11 bidang. Kini ia termasuk kesalinghubungan tenaga, kemampanan, prasarana dan digital, mencerminkan peluang perniagaan yang bertambah dalam bidang pertumbuhan baru, menurut MTI. 

Usaha bersama dalam isu iklim juga dirangsang apabila kededua negara bertukar-tukar LOI, yang menarik perhatian tentang kesimpulan perundingan berhubung Perjanjian Pelaksanaan, menurut Artikel 6 Perjanjian Paris. Apabila perjanjian pelaksanaan dimeterai, ia akan membuka peluang kerjasama dalam usaha mematuhi tuntutan kredit karbon.

Sementara itu, kemajuan substantif turut dicapai dalam kerjasama tenaga diperbaharui setelah konsortium terdiri daripada firma tempatan, Sembcorp Utilities Pte Ltd, dan PetroVietnam Technical Services Corporation diluluskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Sekitaran Vietnam untuk menjalankan tinjauan tapak angin menghala ke laut. 


Tinjauan ini akan menentukan potensi tenaga angin dalam ruang seluas 200,000 hektar bagi kemungkinan eksport dari Vietnam ke Singapura. Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura turut menandakan sokongan bagi projek ini menerusi satu LOI kepada konsortium itu. 


Pada 2022, Vietnam merupakan rakan dagangan Singapura yang ke-11 terbesar. 

Sehingga akhir tahun lalu, Singapura juga adalah pelabur asing kedua terbesar Vietnam dengan pelaburan kumulatif bernilai AS$70.8 bilion ($96 bilion).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >