ISLAMABAD: Kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di Pakistan mengalami penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun, sedang peningkatan penggunaan Internet dalam kalangan golongan muda mendedahkan mereka kepada ancaman seperti manipulasi, ugutan dan pemerasan seksual.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang diterbitkan bulan September ini, sekitar 85 peratus pelaku yang menyasarkan mangsa berusia antara 12 dengan 17 tahun merupakan individu yang dikenali mangsa.

Lebih membimbangkan, 71 peratus mangsa tidak memberitahu sesiapa mengenai penderaan yang dialami, manakala tiada seorang pun kanak-kanak yang ditinjau melaporkan kejadian itu melalui saluran rasmi seperti polis, talian bantuan atau pekerja sosial.

Stigma, rasa malu serta kebimbangan mengenai reaksi keluarga dan masyarakat dikenal pasti sebagai antara sebab utama mangsa memilih untuk berdiam diri.

Bagi seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Zara Shah, nama samaran yang digunakan AFP demi keselamatannya, pengalaman itu bermula melalui permainan komputer dalam talian.

Seorang lelaki tidak dikenali mula berbual dengannya ketika mereka bermain sebelum secara beransur-ansur cuba mendapatkan kepercayaannya dengan bersikap seperti seorang rakan.

“Kami mula berbual ketika bermain permainan dalam talian dan dia mula bertindak seperti seorang kawan. Kemudian, dia mahu berjumpa dan selepas itu mula meminta gambar bogel saya,” katanya kepada AFP.

Apabila Zara enggan memenuhi permintaan itu, lelaki berkenaan mengugut untuk mencari anggota keluarganya melalui Internet dan memberitahu mereka mengenai hubungan mereka.

Menurut penulis utama laporan global Unicef itu, Encik Daniel Kardefelt, penderaan seksual dalam talian sering bermula melalui interaksi yang kelihatan biasa dan tidak berbahaya.

Ia boleh bermula dengan perbualan mesra, interaksi ketika bermain permainan dalam talian, tawaran hadiah atau wang, malah janji hubungan romantik.

“Pelaku mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk membina kepercayaan dengan menggunakan maklumat yang mereka temui di media sosial,” katanya.

Menurut Cik Mehek Naeem, pengarah Pahchaan, sebuah pertubuhan hak kanak-kanak yang berpangkalan di Lahore, kira-kira 44 peratus kes penderaan yang dilaporkan berlaku sepenuhnya dalam talian.

Snapchat dan WhatsApp adalah antara wadah yang paling kerap dikaitkan dengan kes sedemikian.

Kanak-kanak perempuan pula boleh berdepan risiko lebih besar apabila menjadi mangsa pemerasan seksual, terutama dalam persekitaran sosial konservatif di Pakistan.

Mangsa mungkin bimbang pendedahan mengenai kejadian itu akan menyebabkan keluarga mengehadkan pergerakan mereka atau menghalang mereka daripada meneruskan persekolahan.

Kebimbangan itu menyebabkan Zara memilih untuk menyembunyikan apa yang berlaku.

“Saya mungkin dihalang daripada pergi ke sekolah atau keluar rumah sama sekali,” katanya.

“Berdiam diri terasa seperti pilihan yang lebih baik daripada bersuara. Tetapi kebimbangan menghantui saya setiap hari.”

Ancaman itu semakin mendapat perhatian ketika penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak Pakistan berkembang pesat.

Unicef menganggarkan sekitar 74 peratus kanak-kanak berusia antara 12 dengan 17 tahun di negara itu menggunakan Internet.

Sebagai tindak balas terhadap kebimbangan mengenai keselamatan golongan muda dalam talian, pemerintah wilayah Punjab meluluskan satu ketetapan untuk melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada menggunakan media sosial.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan bantahan daripada aktivis hak digital yang mempersoalkan keberkesanannya.

Aktivis hak digital, Encik Usama Khilji, berkata larangan tersebut sukar dilaksanakan kerana golongan muda masih boleh memintas sekatan dengan menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN).

Beliau turut berhujah bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara dan larangan menyeluruh boleh menjejaskan hak tersebut.

Pakistan sebenarnya mempunyai rangka undang-undang bagi menangani kesalahan terhadap kanak-kanak yang dilakukan dengan bantuan teknologi.

Bagaimanapun, Cik Tahira Afrasiyab, jurucakap pertubuhan bukan pemerintah Muslim Hands, berkata masalah utama terletak pada pelaksanaan undang-undang tersebut.

Pakar turut memberi amaran bahawa masih terdapat kelemahan dalam undang-undang sedia ada yang boleh dieksploitasi oleh pelaku.

Peguam hak asasi manusia, Encik Salman Afridi, berkata keadaan ekonomi mangsa juga boleh dimanipulasi, termasuk dengan menawarkan wang serendah 10,000 rupee Pakistan ($46) sebagai pertukaran untuk menghasilkan kandungan seksual.

Menurutnya, teknologi kini boleh digunakan dalam keseluruhan proses eksploitasi, daripada mendekati dan mempengaruhi mangsa, menawarkan ganjaran serta melakukan paksaan dan ugutan, sehinggalah menghasilkan, mengedar dan mengaut keuntungan daripada kandungan seksual.

Keadaan itu, katanya, menunjukkan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian bukan lagi sekadar melibatkan tindakan seorang pelaku terhadap seorang mangsa, malah boleh berkembang menjadi rangkaian eksploitasi yang lebih tersusun.

Bagi Zara, ancaman yang bermula daripada perbualan ketika bermain permainan dalam talian terus meninggalkan kesan mendalam.

“Saya takut dahulu dan saya masih takut,” katanya.

“Saya hidup dalam ketakutan.” - Agensi berita