Topik diikuti
Pergi ke BHkuAP Indonesia desak universiti tegas tangani kes gangguan seksual
AP Indonesia desak universiti tegas tangani kes gangguan seksual
AP Indonesia desak universiti tegas tangani kes gangguan seksual
JAKARTA: Ahli Parlimen Indonesia pada 20 April mendesak pemerintah dan pihak universiti negara itu agar memperkukuh langkah pencegahan gangguan seksual di kampus menyusuli kemarahan awam terhadap beberapa kes melibatkan pelajar dan pensyarah universiti terkemuka.
Tindakan itu adalah susulan selepas Universiti Indonesia (UI) menggantung pengajian 16 pelajar undang-undang berhubung perbualan kumpulan dalam talian yang mengandungi kenyataan lucah serta merendahkan maruah pelajar dan pensyarah wanita.
Dalam kes berasingan, Universiti Padjadjaran turut menggantung khidmat seorang profesor Fakulti Kejururawatan yang didakwa menghantar mesej tidak senonoh kepada seorang pelajar antarabangsa.
Menyusuli kejadian tersebut, Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang menyelia sektor pendidikan telah mengadakan sesi bersama pegawai Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi serta rektor beberapa universiti utama bagi menilai semula mekanisme pencegahan dan pengendalian kes.
Mesyuarat tertutup yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri wakil UI, Universiti Padjadjaran, Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Institut Pertanian Bogor (IPB).
Setiausaha Agung Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Encik Badri Munir Sukoco, berkata pemerintah memandang serius peningkatan kes gangguan seksual di kampus, namun menegaskan peningkatan laporan turut mencerminkan saluran aduan yang kian berkesan.
“Kami amat bimbang dengan insiden yang berlaku, tetapi pada masa yang sama peningkatan laporan menunjukkan mekanisme pelaporan melalui pasukan khas semakin berfungsi,” kata beliau.
Menurutnya, kementerian itu kini mempergiat usaha memperkukuh sistem pencegahan termasuk memperkenal kontrak prestasi bagi pemimpin universiti, dengan pelaksanaan Pasukan Petugas bagi Pencegahan dan Penanganan Kekerasan di Perguruan Tinggi (PPKPT) dijadikan ukuran utama keberkesanan.
Di peringkat nasional, semua universiti awam telah menubuhkan pasukan petugas tersebut, manakala pelaksanaannya di universiti swasta mencapai kira-kira 65 peratus.
Peraturan kementerian yang diperkenalkan pada 2024 mewajibkan setiap institusi pengajian tinggi menubuhkan pasukan ini yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan kakitangan pentadbiran, serta bertanggungjawab menyiasat dakwaan gangguan seksual dan keganasan di kampus.
Encik Badri turut memaklumkan bahawa penilaian lanjut sedang dijalankan bagi menambah baik mekanisme pengendalian kes, termasuk meneliti faktor asas seperti hubungan kuasa dalam persekitaran akademik.
“Kami akan meneliti punca-punca keganasan termasuk dinamik kuasa, dan mempertimbangkan penambahbaikan dasar berdasarkan pandangan Suruhanjaya X,” katanya.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya X, Encik Lalu Hadrian Irfani, menegaskan ihak universiti perlu bertindak tegas tanpa sebarang tolak ansur.
“Kami menekankan bahawa semua mekanisme termasuk tindakan disiplin mesti dilaksanakan tanpa pengecualian sebaik siasatan selesai,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan ketelusan dalam proses siasatan.
“Proses itu juga perlu dilaksanakan secara telus selepas fakta ditentukan, kerana insiden seperti ini telah mencemarkan sistem pendidikan kita,” katanya. – Agensi berita.
