Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 anggota penyelamat terbunuh dalam kebakaran hutan di Turkey

Jul 24, 2025 | 1:25 PM
Orang awam dan anggota bomba cuba memadamkan api ketika asap tebal dan nyalaan api kelihatan membumbung dari kawasan hutan susulan kebakaran di daerah Cesme, Izmir pada 3 Julai 2025. Seorang lelaki warga emas dan seorang pekerja perhutanan maut pada hari yang sama dalam kebakaran hutan di Turkey, ketika pasukan penyelamat bergelut dengan angin kencang yang memburukkan keadaan dua kebakaran di wilayah barat Izmir, menurut ahli parlimen.
Turkey, yang terselamat daripada gelombang haba yang melanda sebahagian besar Eropah Selatan, kini sedang berdepan kesan kemarau jangka panjang akibat perubahan iklim.
Orang awam dan anggota bomba cuba memadamkan api ketika asap tebal dan nyalaan api kelihatan membumbung dari kawasan hutan susulan kebakaran di daerah Cesme, Izmir pada 3 Julai 2025. Seorang lelaki warga emas dan seorang pekerja perhutanan maut pada hari yang sama dalam kebakaran hutan di Turkey, ketika pasukan penyelamat bergelut dengan angin kencang yang memburukkan keadaan dua kebakaran di wilayah barat Izmir, menurut ahli parlimen. Turkey, yang terselamat daripada gelombang haba yang melanda sebahagian besar Eropah Selatan, kini sedang berdepan kesan kemarau jangka panjang akibat perubahan iklim. - Foto AFP

ANKARA: Sekurang-kurangnya 10 anggota bomba dan penyelamat terkorban manakala 14 lagi cedera ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan besar di wilayah Eskisehir, barat laut Turkey. Kebakaran itu berlaku ketika negara tersebut sedang berdepan cuaca panas melampau dan angin kencang yang menyebabkan kebakaran merebak pantas di kawasan tengah dan barat negara.

Menteri Pertanian dan Perhutanan Turkey, Encik Ibrahim Yumaklı, mengesahkan bahawa lima pekerja perhutanan dan lima anggota penyelamat maut apabila kumpulan mereka seramai 24 orang terperangkap dalam api marak selepas angin secara tiba-tiba berubah arah.

“Malangnya, kami kehilangan lima pekerja hutan dan lima penyelamat,” kata Encik Yumaklı kepada stesen televisyen Turki. “Angin yang tidak menentu menyebabkan api menyambar pasukan kami, dan walaupun mereka dibawa ke hospital dengan segera, 10 daripada mereka tidak dapat diselamatkan.”

Seramai 14 lagi masih menerima rawatan, dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal, menurut Menteri Kesihatan, Encik Kemal Memisoglu. Beliau menambah bahawa tujuh daripada mangsa telah dibenarkan keluar selepas rawatan awal.

Insiden ini menambah jumlah korban kebakaran hutan di Turkiye tahun 2025 kepada 13 orang. Sebelum ini, seorang lelaki warga emas dan dua lagi pekerja perhutanan maut dalam kebakaran berhampiran bandar Odemis di wilayah Izmir.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menyampaikan penghargaan terhadap keberanian mangsa. “Saya berdoa agar Allah mencucuri rahmat ke atas saudara-saudari kita yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir demi melindungi hutan kita. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mereka dan seluruh rakyat Turkey,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Seorang anggota parlimen tempatan, Encik Nebi Hatipoğlu, menulis di X: “Tiada kata yang mampu menggambarkan kesedihan kami.” Sementara itu, laman berita BirGun melaporkan bahawa kumpulan penyelamat itu “terperangkap dan terbakar hidup-hidup”.

Menteri Kehakiman Turkey, Encik Yılmaz Tunç, mengesahkan dua pendakwa raya telah ditugaskan untuk menyiasat tragedi ini. “Pejabat Pendakwa Raya Utama sedang menjalankan siasatan terhadap punca kebakaran di wilayah Eskişehir,” katanya.

Sementara itu, Encik Yumaklı turut memberikan perkembangan terkini mengenai kebakaran yang sedang berlaku di seluruh negara. Beliau memaklumkan bahawa kebakaran di daerah Urla, wilayah Izmir telah berjaya dikawal, manakala kebakaran di Sakarya-Bilecik dan Karabük juga hampir dipadamkan sepenuhnya.

“Kebakaran di Geyve, Sakarya telah dikawal selepas usaha sepanjang malam dan sokongan udara pagi ini. Namun kami masih berdepan risiko tinggi susulan suhu yang dijangka meningkat dan angin kuat dari tengah hari,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada kebakaran di Seyitgazi, Eskişehir yang masih berterusan di kawasan berbatu curam, namun tidak membahayakan penduduk. “Keadaan kini di bawah kawalan, tetapi operasi penyejukan akan diteruskan selama beberapa hari,” tambah beliau.

Encik Yumaklı juga mendedahkan bahawa lebih 4,000 kebakaran telah direkodkan sejak awal tahun 2025, termasuk 1,728 kebakaran di kawasan hutan. Beliau mengaitkan peningkatan ini dengan perubahan iklim global dan keadaan kemarau berpanjangan.

“Kita sedang berhadapan dengan risiko kebakaran yang sangat tinggi di seluruh negara. Oleh itu, kami menyeru semua rakyat agar tidak menyalakan api di luar rumah dan sentiasa berhati-hati dalam setiap aktiviti,” tegasnya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat dan rakyat yang telah menunjukkan keprihatinan dan kerjasama. “Kami akan kekal berjaga-jaga sehingga 15 Oktober 2025. Saya harap semua rakyat faham keadaan ini dan terus membantu kami melindungi tanah air ini.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg