Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

76 maut, berpuluh cedera dalam kebakaran di resort ski Turkey

Jan 22, 2025 | 12:25 PM
Gambar yang dirakam dron menunjukkan kesan kebakaran di sebuah hotel di pusat peranginan ski Kartalkaya di Bolu, Turkey, pada 21 Januari.
Gambar yang dirakam dron menunjukkan kesan kebakaran di sebuah hotel di pusat peranginan ski Kartalkaya di Bolu, Turkey, pada 21 Januari. - Foto REUTERS

KARTALKAYA (Turkey): Kebakaran di sebuah hotel resort ski di pergunungan Bolu di Turkey telah membunuh 76 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi pada 21 Januari, memaksa tetamu yang panik melompat keluar dari tingkap pada tengah malam.

“Ia seperti kiamat. Api membaham hotel serta-merta dalam setengah jam,” kata Encik Mevlut Ozer, yang menyaksikan kejadian di pusat peranginan ski Kartalkaya di barat laut Turkey itu.

Kebakaran bermula sekitar 3.30 pagi (8.30 pagi waktu Singapura) di tingkat restoran di Hotel Grand Kartal, setinggi 12 tingkat, kata pihak berkuasa.

Beberapa kereta bomba dan ambulans kemudian memadamkan api pada bahagian depan bangunan yang diperbuat daripada kayu.

Beberapa cadar putih dilihat berjuntai dari sekurang-kurangnya tiga tingkap di tingkat atas, menunjukkan bagaimana mangsa cuba menyelamatkan diri.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, telah mengisytiharkan 22 Januari sebagai hari berkabung negara selepas kejadian itu.

“Orang ramai mula melompat panik. Seorang rakan terjun dari tingkat 11 – semoga Allah merahmatinya,” kata Encik Omer Sakrak, seorang lagi saksi dan pekerja sebuah hotel berjiran.

“Mereka cuba turun ke bawah dengan menggunakan cadar. Seorang rakan cuba menyelamatkan diri tetapi malangnya cadar terkoyak dan beliau terus jatuh ke bawah,” katanya lagi.

Tetamu hotel memberitahu stesen penyiar bahawa mereka melarikan diri melalui koridor yang dipenuhi asap dan tidak mendengar sebarang bunyi penggera.

Menteri Dalam Negeri, Encik Ali Yerlikaya, berkata terdapat 238 tetamu di hotel ketika kebakaran berlaku.

Menurut beliau, api telah dapat dipadamkan dan usaha mencari dan menyelamat telah dihentikan.

Pihak berkuasa sedang menjalankan ujian DNA untuk mengenal pasti beberapa mayat yang ditemui dari lokasi kebakaran, tambahnya.

Siasatan sedang dijalankan terhadap kebakaran itu, yang berlaku semasa cuti sekolah apabila ramai keluarga dari Istanbul dan Ankara menuju ke pergunungan Bolu untuk bermain ski.

Polis telah menahan sembilan orang sebagai sebahagian daripada siasatan, kata Encik Yerlikaya, sambil menambah bahawa pendakwa raya akan menjelaskan punca kebakaran dan orang yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg