10 maut, 25 cedera dalam insiden tembakan sekolah di British Columbia
10 maut, 25 cedera dalam insiden tembakan sekolah di British Columbia
TUMBLER RIDGE (Canada): Seramai 10 orang maut dalam satu kejadian tembakan yang berlaku di sebuah sekolah menengah dan sebuah kediaman di Tumbler Ridge, wilayah British Columbia, pada 10 Februari, menurut Polis Berkuda Diraja Canada (RCMP).
Komander Daerah Utara RCMP British Columbia, Superintenden Ken Floyd, berkata enam mangsa ditemukan maut di dalam sekolah menengah berkenaan, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Seorang individu yang dipercayai sebagai penembak turut ditemukan maut akibat kecederaan yang dipercayai dilakukan sendiri.
“Beberapa mangsa yang cedera dan maut ditemukan di dalam sekolah ketika anggota kami bergerak mengawal lokasi kejadian.
“Ketika ini, kawasan kejadian telah dikawal dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan serta jenis senjata yang mungkin digunakan,” kata Encik Floyd dalam satu sidang media.
Polis turut mengesahkan dua lagi mangsa ditemukan maut di sebuah kediaman yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan di sekolah tersebut.
Pihak berkuasa kini sedang memeriksa beberapa kediaman lain bagi mengenal pasti sama ada terdapat mangsa tambahan atau individu lain yang berkaitan dengan kejadian itu.
RCMP memaklumkan bahawa tiada suspek lain yang dipercayai terlibat dan tidak terdapat ancaman berterusan kepada orang ramai.
Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai seorang wanita.
Amaran penembak aktif yang dikeluarkan sebelum ini menggambarkan suspek sebagai wanita berambut perang dan memakai gaun.
Bagaimanapun, Encik Floyd enggan mengesahkan identiti atau usia suspek dan berkata motif serangan masih belum diketahui.
“Kami masih dalam proses mengumpul maklumat. Pada masa ini, kami belum dapat memastikan motif kejadian,” katanya.
Selain mangsa yang maut, pihak berkuasa melaporkan kira-kira 25 individu lain mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Sejumlah 25 lagi sedang menjalani pemeriksaan di pusat perubatan tempatan.
Tumbler Ridge merupakan sebuah kawasan perbandaran terpencil dengan kira-kira 2,400 penduduk, terletak di kaki Banjaran Rocky di utara British Columbia, kira-kira 1,155 kilometer timur laut Vancouver.
Menteri Keselamatan Awam British Columbia, Cik Nina Krieger, melahirkan simpati terhadap masyarakat yang terjejas dan memberi jaminan sokongan penuh kepada pihak polis.
“Segala ingatan dan doa kami bersama penduduk Tumbler Ridge. Saya telah bercakap dengan Datuk Bandar dan wakil rakyat tempatan, dan kami bersedia memberikan sebarang bantuan tambahan yang diperlukan oleh RCMP,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.
“Ini merupakan hari yang amat sukar dan penuh emosi bagi komuniti kami. Kerjasama semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan situasi dapat dikawal dengan segera,” kata Encik Floyd.
Perintah berlindung di tempat masing-masing dikeluarkan sekitar 1.20 petang waktu tempatan selepas polis menerima laporan pertama mengenai penembak aktif.
Perintah tersebut ditarik balik kira-kira 5.45 petang selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan terkawal.
Daerah persekolahan mengumumkan bahawa Sekolah Menengah Tumbler Ridge, lokasi kejadian, serta Sekolah Rendah Tumbler Ridge akan ditutup sepanjang minggu ini.
Kolej Northern Lights yang terletak berhampiran turut memaklumkan penutupan sementara sehingga hujung minggu. – Agensi berita.

