Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

100,000 mangsa bunuh didakwa ditanam di kubur besar Syria

Dec 17, 2024 | 3:23 PM
Poster yang menunjukkan orang-orang yang hilang dipasang pada tembok sebuah tugu di al-Marjeh Square, Damsyik, ibu kota Syria, pada 16 Disember 2024.
Poster yang menunjukkan orang-orang yang hilang dipasang pada tembok sebuah tugu di al-Marjeh Square, Damsyik, ibu kota Syria, pada 16 Disember 2024. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Ketua sebuah badan advokasi Syria berpangkalan di Amerika Syarikat menyatakan sebuah kubur besar di luar Damsyik didapati berisi sekurang-kurangnya 100,000 mayat yang dibunuh oleh rejim Bashar al-Assad.

Ketika ditemu bual menerusi telefon pada 16 Disember, Encik Mouaz Moustafa mendakwa bahawa kubur di al Qutayfah, 40 kilometer ke utara ibu kota Syria itu, adalah salah sebuah daripada lima kubur seumpama itu.

“Seratus ribu adalah perkiraan paling konservatif” jumlah mayat yang dikuburkan di lokasi tersebut, kata Encik Moustafa, ketua Jawatankuasa Bertindak Kecemasan Syria.

Beliau yakin ada lebih banyak kubur besar seumpama itu selain daripada lima yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, selain warga Syria, korban yang dikebumikan di kubur itu, termasuk dari Amerika, Britain dan warga negara asing lain.

Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan Encik Moustafa itu.

Ratusan ribu warga Syria terbunuh sejak 2011, ketika tindakan keras Encik Assad terhadap bantahan menentang pemerintahannya yang kemudian berkembang menjadi perang saudara berskala penuh.

Encik Assad dan bapanya, yang juga presiden terdahulu, Encik Hafez, dituduh oleh rakyat Syria, kumpulan hak asasi manusia dan pemerintah lain bagi pembunuhan di luar batas undang-undang, termasuk hukuman mati secara besar-besaran dalam sistem penjara terkenal di negara itu.

Encik Assad telah berulang kali menafikan terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia dan menyifatkan pengkritiknya sebagai pelampau.

Duta Besar Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Koussay Aldahhak, tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

Beliau mengambil alih peranan itu pada Januari – semasa Encik Assad masih berkuasa – tetapi memberitahu pemberita minggu lalu bahawa beliau sedang menunggu arahan daripada pihak berkuasa baru dan akan “terus mempertahankan dan bekerja untuk rakyat Syria”.

Encik Moustafa tiba di Syria selepas Encik Assad melarikan diri ke Russia ketika serangan mengejut oleh kumpulan pemberontak, yang sekali gus menamatkan pemerintahan kuku besinya yang lebih 50 tahun.

Beliau bercakap kepada Reuters selepas beliau ditemu bual di tapak di al Qutayfah oleh Channel 4 News Britain untuk laporan mengenai dakwaan kubur besar di sana.

Beliau berkata cabang perisikan tentera udara Syria “bertanggungjawab terhadap mayat yang dibawa keluar dari hospital tentera”.

“Mayat dikumpulkan selepas mereka diseksa hingga mati di cabang risikan berbeza dan kemudian dihantar ke lokasi kubur besar-besaran,” ujarnya – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg