Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua pemberontak Syria bubarkan pasukan keselamatan Assad, tutup penjara

Pentadbiran baru negara itu berhasrat bawa pulang jutaan pelarian, wujudkan perpaduan dan sedia khidmat asas
Dec 12, 2024 | 2:36 PM
Rakyat Syria mengibarkan bendera tiga bintang pembangkang ketika mereka meraikan kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Dataran Umayyad pada 11 Disember, hari perintah berkurung ditarik balik di Syria.
Rakyat Syria mengibarkan bendera tiga bintang pembangkang ketika mereka meraikan kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Dataran Umayyad pada 11 Disember, hari perintah berkurung ditarik balik di Syria. - Foto EPA-EFE

DAMSYIK: Pemimpin pemberontak yang menumbangkan rejim Bashar al-Assad berkata bahawa beliau akan membubarkan pasukan keselamatan bekas rejim, menutup penjara dan memburu mereka yang terlibat dalam penyeksaan atau pembunuhan tahanan.

Encik Ahmad al-Sharaa – lebih dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani – berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau akan “membubarkan pasukan keselamatan rejim terdahulu dan menutup penjara”.

Syria merupakan salah sebuah negara kuku besi yang paling menindas di Timur Tengah selama lima dekad pemerintahan keluarga Encik Assad.

Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), bekas sekutu al-Qaeda yang dipimpin Encik Sharaa, kini menjadi kuasa paling kuat di negara itu.

Ia mesti mengimbangi tuntutan keadilan daripada mangsa dengan keperluan untuk mencegah tindakan balas ganas dan mendapatkan bantuan antarabangsa.

Rakyat Syria telah berpusu-pusu ke penjara rejim Encik Assad yang dianggarkan telah menahan puluhan ribu banduan, bagi mencari orang tersayang.

Ada yang telah dibebaskan hidup-hidup, yang lain dikenal pasti antara yang mati dan beribu-ribu lagi masih belum ditemui.

Encik Sharaa berkata dalam satu kenyataan berasingan di saluran Telegram televisyen pemerintah Syria bahawa orang yang mengambil bahagian dalam penyeksaan atau pembunuhan tahanan akan diburu dan tidak akan mendapat pengampunan.

“Kami akan menjejaki mereka di Syria, dan kami akan meminta negara-negara luar supaya menyerahkan mereka yang melarikan diri supaya kami dapat menegakkan keadilan,” kata Encik Sharaa pada 11 Disember.

Dunia sedang memerhati dengan teliti untuk melihat sama ada pemerintah baru Syria boleh menstabilkan negara itu dan mengelak daripada melepaskan dendam ganas selepas tercetusnya perang saudara berdasar perbezaan fahaman dan etnik selama 13 tahun.

Encik Mohammad al-Bashir, yang dilantik oleh anggota kumpulan Encik Sharaa untuk mengetuai pentadbiran sementara sehingga Mac, berkata bahawa beliau berhasrat membawa pulang berjuta-juta pelarian, mewujudkan perpaduan dan menyediakan perkhidmatan asas.

Tetapi pentadbiran baru mempunyai sumber yang sedikit, katanya kepada akhbar Italy, Il Corriere della Sera.

“Kami tidak mempunyai mata wang asing dan bagi pinjaman dan bon kami masih mengumpul data. Dari segi kewangan kami sangat terdesak,” kata Encik Bashir, yang sebelum ini menjalankan tugas pentadbiran kecil di bawah kuasa pemberontak di barat laut Syria.

Membina semula Syria adalah tugas besar berikutan perang saudara yang mengorbankan ratusan ribu orang, memusnahkan bandar-bandar dan ekonomi akibat sekatan antarabangsa.

Berjuta-juta lagi masih tinggal di kem perlindungan menyusuli salah satu perpindahan terbesar pada zaman moden.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, berkata badan dunia itu “komited sepenuhnya untuk menyokong peralihan kuasa yang lancar di Syria”.

Pegawai asing dilaporkan berhati-hati untuk terlibat dengan bekas pemberontak kerana HTS disifatkan sebagai organisasi pengganas oleh Washington, PBB dan Kesatuan Eropah.

Dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, memasuki minggu-minggu terakhir memegang jawatan, Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken, dan penasihat keselamatan negara, Encik Jake Sullivan, menuju ke Timur Tengah untuk mengusahakan gencatan senjata Gaza dan membantu memastikan peralihan kuasa berjalan lancar di Syria, kata pegawai Amerika. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg