BEIJING: Kemalangan waktu sibuk pada petang di metro Beijing menyebabkan 102 orang mengalami keretakan tulang selepas pelanggaran melibatkan bahagian belakang kereta api, lapor media pemerintah pada 15 Disember.
Ibu kota China – di mana kejadian seperti itu jarang berlaku – telah dilanda ribut salji sejak kebelakangan ini, menjejaskan operasi dan mengakibatkan kelewatan pengangkutan di seluruh bandar.
Kemalangan itu berlaku pada 6.57 petang pada 14 Disember, apabila dua gerabak terakhir berpisah daripada kereta api di hadapan mereka, kata laporan awal pihak berkuasa metro.
Sehingga 11 malam, “seramai 515 orang dikejarkan ke hospital dengan 102 daripada mereka mengalami retak tulang”, lapor stesen penyiar pemerintah, CCTV, pada 15 Disember.
Menjelang 6 pagi pada 15 Disember, seramai 423 orang telah dikeluarkan daripada hospital, kata CCTV, sambil menambah 67 yang lain masih menerima rawatan manakala 25 orang dalam pemerhatian.
Tiada kematian telah direkodkan, tambah CCTV.
Siasatan awal mendapati cuaca bersalji telah menyebabkan landasan licin dan “kemerosotan isyarat”, mengakibatkan perlanggaran bahagian belakang, kata laporan itu.
Kereta api itu dalam perjalanan di bahagian landasan di atas tanah apabila kemalangan tersebut berlaku berhampiran Stesen Xi’erqi ketika ia menuju ke daerah Changping di bahagian utara bandar itu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg