Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

104 maut di Pakistan dek hujan, banjir

Jul 14, 2025 | 11:48 AM
banjir, pakistan, lahore
Para penduduk termasuk yang menggunakan kenderaan terpaksa mengharungi air bah akibat hujan monsun yang lebat melanda Lahore pada 9 Julai. - Foto AFP

ISLAMABAD: Angka kematian akibat hujan monsun dan banjir yang berterusan di Pakistan meningkat kepada 104, apabila enam lagi dilaporkan kehilangan nyawa dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata pegawai.

Menurut Penguasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), dua orang maut di timur laut Punjab, seorang di barat laut Khyber Pakhtunkhwa, dan tiga di barat daya Balochistan dalam kejadian hujan dan banjir, lapor agensi berita setempat pada 12 Julai.

Sejak 26 Jun, Punjab merekodkan 39 kematian dan 103 kecederaan, manakala Khyber Pakhtunkhwa mencatatkan 31 kematian dan 51 kecederaan.

Di Sindh, 17 orang maut dan 37 yang lain cedera, manakala Balochistan melaporkan 16 kematian dan empat cedera.

Azad Jammu dan Kashmir pula merekodkan satu kematian dan lima cedera.

Banjir kilat dan hujan lebat kerap melanda Pakistan semasa musim tengkujuh, menyebabkan korban dan kerosakan yang meluas, terutamanya di kawasan utara dan barat laut.

“Banjir kilat telah memusnahkan beberapa kawasan dalam masa yang sangat singkat. Kami berjaya menyelamatkan empat mangsa, 12 mayat telah ditemui dan seorang lagi masih hilang,” kata jurucakap Rescue 1122, Encik Bilal Faizi, yang dipetik menyatakan demikian dalam laporan sebelum ini.

Menurut pihak Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA) Khyber Pakhtunkhwa, lebih banyak hujan dan banjir dijangka berlaku di beberapa daerah termasuk Swat, Chitral, Abbottabad, Mansehra, Peshawar, Bannu dan Waziristan.

“Paras air Sungai Swat dan anak sungainya dijangka meningkat. Banjir tanah dan limpahan sungai kecil mungkin berlaku di kawasan pergunungan,” kata kenyataan PDMA.

PDMA telah mengeluarkan amaran kepada pentadbiran daerah, mengarahkan supaya langkah berjaga-jaga diambil termasuk mengawal lalu lintas di kawasan berisiko, membersihkan sistem perparitan bagi mengelak banjir bandar dan memastikan penyebaran maklumat cuaca dalam bahasa tempatan.

Orang awam disaran supaya berlindung di kawasan lebih selamat ketika ribut dan hujan batu melanda.

Para petani pula diminta menuai hasil pertanian mereka lebih awal dan menyimpannya di tempat terlindung, manakala penternak diingatkan agar melindungi ternakan mereka.

Jabatan Meteorologi turut memberi amaran bahawa risiko hujan monsun yang lebat dan banjir kilat dijangka berterusan sehingga 5 Julai tetapi masalah iklim itu masih belum reda sehingga kini.

Pakistan yang mempunyai lebih 240 juta penduduk, terus menjadi antara negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim sejagat dan semakin kerap berdepan cuaca ekstrem seperti ribut, banjir dan kemarau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg