Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11 dilapor hilang selepas bot terbalik di perairan Mentawai, Sumatera

Jul 15, 2025 | 10:33 AM
bot karam, mentawai, sumatera
Gambar edaran yang dirakam dan dikeluarkan pada 15 Julai oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia ini menunjukkan seorang anggota penyelamat menggunakan lampu suluh ketika operasi mencari mangsa bot karam di perairan Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat. - Foto AFP

JAKARTA: Operasi menyelamat giat dijalankan bagi mencari 11 individu yang masih hilang selepas sebuah bot penumpang terbalik akibat cuaca buruk di Selat Sipora, Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat pada pagi 14 Julai.

Menurut kenyataan rasmi dari Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Mentawai, kejadian berlaku sekitar 11 pagi waktu tempatan pada 14 Julai, ketika bot berkenaan dalam perjalanan dari Sikakap ke Tuapejat.

“Maklumat yang kami terima menyatakan bot itu membawa 18 penumpang. Setakat ini, tujuh telah berjaya diselamatkan, manakala 11 masih dalam pencarian,” kata Ketua SAR Mentawai, Encik Rudi, dalam satu sidang media pada 14 Julai.

Encik Rudi menjelaskan bahawa pihaknya menerima laporan kejadian sekitar 5.40 petang dan segera mengerahkan pasukan penyelamat ke lokasi, yang terletak kira-kira 1.5 jam perjalanan dari dermaga Tuapejat.

“Bot tersebut dilaporkan terbalik akibat cuaca buruk di Selat Sipora. Kami menggerakkan dua buah bot penyelamat dan puluhan anggota untuk membantu operasi,” tambah beliau.

Antara 18 orang yang berada di atas bot berukuran 12 meter itu termasuklah 10 pegawai pemerintah tempatan dan beberapa pekerja sektor swasta.

Kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan rasmi antara dua pekan kecil di wilayah Mentawai.

Salah seorang daripada tujuh mangsa yang terselamat memaklumkan bahawa mereka berjaya berenang ke pantai Dusun Mapinang menggunakan jaket keselamatan.

“Kami bergantung pada pelampung dan berenang selama lebih sejam. Ombak sangat kuat,” kata seorang mangsa yang enggan dikenali, ketika ditemui pasukan penyelamat.

Menurut Encik Rudi, identiti mangsa yang masih hilang tidak akan diumumkan buat masa ini bagi menghormati privasi keluarga. “Kami telah berhubung dengan keluarga terlibat dan meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat mangsa tanpa pengesahan rasmi,” tegas beliau.

Operasi mencari 10 mangsa yang hilang diteruskan pada 15 Julai dan pihak berkuasa meminta kerjasama masyarakat untuk memberikan maklumat sekiranya terdapat petunjuk baru.

“Kami berdoa agar semua mangsa dapat ditemui dengan selamat. Kami akan berusaha sedaya upaya dan tidak akan berhenti sehingga semua mangsa ditemukan,” kata Encik Rudi.

Beliau juga menekankan bahawa insiden ini berkemungkinan besar berpunca daripada keadaan cuaca buruk yang melanda perairan Mentawai sejak awal minggu.

“Kami sedang menyemak semula status keselamatan perjalanan laut di kawasan ini agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” ujarnya.

Kejadian ini menambah kepada siri tragedi laut yang kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan dengan lebih 17,000 pulau, di mana bot dan feri menjadi pengangkutan utama.

Kemalangan sering dikaitkan dengan cuaca buruk dan kelemahan dalam penguatkuasaan piawaian keselamatan.

Sebelum ini, awal Julai, sebuah feri turut karam berhampiran Bali.

Daripada 65 penumpang, 18 disahkan meninggal dunia, 30 terselamat, manakala 17 masih hilang.

Pada Mac, sebuah bot yang membawa 16 orang terbalik di perairan bergelora di luar Bali, menyebabkan seorang wanita Australia maut dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang penumpang lain. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg