BANYUWANGI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui bangkai feri KMP Tunu Pratama Jaya di dasar laut Selat Bali menggunakan dron bawah air, selepas kapal itu karam dalam pelayaran dari Banyuwangi ke Gilimanuk pada malam 2 Julai lalu.
Komander Tugas Gugus Tempur Laut Armada Kedua, Laksamana Pertama Endra Hartono, mengesahkan kapal tersebut ditemui dalam keadaan terbalik pada 12 Julai.
“Kami mengenal pasti kapal itu berdasarkan nama serta struktur bawahnya yang sepadan dengan KMP Tunu Pratama Jaya,” katanya dalam sidang media pada 13 Julai.
Penemuan itu dibuat selepas empat percubaan sebelum ini terhalang oleh arus kuat. Bangkai kapal itu dikesan kira-kira 3.9 kilometer dari lokasi insiden oleh dron milik Tentera Laut Indonesia.
Sehingga kini, 17 penumpang masih belum ditemui, manakala 18 disahkan maut dalam tragedi yang berlaku kira-kira 30 minit selepas feri meninggalkan Pelabuhan Ketapang pada pukul 10:56 malam.
Rekod menunjukkan seramai 53 penumpang dan 12 kru berada dalam feri berkenaan, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar lebih tinggi kerana terdapat mangsa yang tidak disenaraikan. Feri itu turut membawa 22 kenderaan termasuk 14 lori muatan.
Siasatan awal oleh Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT) mendapati kemungkinan punca kejadian adalah kegagalan kru menutup pintu bilik enjin sebelum pelayaran. “Kami juga sedang menyiasat sama ada kapal tersebut membawa muatan berlebihan,” kata Pemangku Ketua Jawatankuasa Keselamatan Maritim KNKT, Encik Anggiat Pandiangan pada 8 Julai.
Ketua Pejabat Navigasi Tanjung Perak, Encik Hartanto, mengesahkan rancangan untuk menaikkan kapal tersebut semasa sidang media pada 13 Julai. “Lokasi kapal sudah dikenal pasti, langkah seterusnya ialah memasang penanda di tapak,” katanya.
Pasukan khas kini sedang dalam perjalanan ke Banyuwangi untuk menandakan lokasi bangkai dan merancang operasi pengapungan semula. Operasi itu turut mendapat sokongan Unit Pengawal Laut dan Pantai (KPLP). “Kami akan terus berkerjasama dan melaksanakan tugas mengikut prosedur standard. Operasi ini akan memakan masa,” tambah Encik Hartanto.
Menurut Pusat Operasi SAR di Pelabuhan Ketapang, sehingga 13 Julai seramai 30 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 17 masih hilang dan tiga mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.
Timbalan Operasi dan Kesiapsiagaan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Encik Ribut Eko Suyatno, memaklumkan bahawa pasukan bawah laut turut berjaya merakam imej pertama feri yang karam. “Penemuan ini akan dilaporkan secara rasmi kepada Basarnas dan Kementerian Pengangkutan,” katanya di Ketapang.
Dalam operasi darat pada hari sama, Ketua Polis Banyuwangi, Pesuruhjaya Kanan Rama Samtama Putra, memaklumkan bahawa satu mayat wanita telah ditemui oleh nelayan kira-kira 4 kilometer dari pantai di Kampung Pengambengan, Jembrana, Bali.
Operasi mencari dan menyelamat kini dilanjutkan sehingga 14 Julai atas alasan kemanusiaan selepas lanjutan tiga hari sebelum ini tamat pada 11 Julai. “Kami akan menilai semula sama ada operasi perlu dilanjutkan lagi selepas tarikh itu,” kata Encik Suyatno.
Tragedi ini sekali lagi mencetuskan gesaan awam agar pemerintah memperketat peraturan keselamatan maritim, memandangkan Indonesia kekal antara negara yang mencatatkan insiden kehilangan kapal tertinggi di dunia, menurut laporan Reviu Keselamatan dan Perkapalan Allianz 2025. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg