Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11 maut, 4 cedera dalam serangan Israel di Lebanon

Nov 19, 2025 | 5:35 PM
sidon, lebanon
Anggota kecemasan mencari mereka yang mungkin terselamat di bawah puing-puing bangunan yang musnah akibat serangan Israel ke atas kem pelarian Palestin Ain al-Helweh, di Sidon, Lebanon, pada 18 November. - Foto AFP

BEIRUT: Serangan Israel ke atas bandar Sidon di selatan Lebanon telah mengorbankan 11 orang dan mencederakan empat yang lain, kata Kementerian Kesihatan pada 18 November.

Tentera Israel mendakwa ia menyerang militan yang dikatakan beroperasi di sebuah kompleks latihan di kem pelarian Palestin Ain al-Hilweh yang sesak berhampiran Sidon.

Mereka berkata kompleks itu telah digunakan oleh kumpulan Palestin Hamas untuk melancarkan serangan terhadap Israel.

Tiada komen segera daripada Hamas mengenai serangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat telah membatalkan pertemuan di Washington dengan komander angkatan tentera Lebanon, Jeneral Rudolf Haykal, sebagai membantah kenyataan oleh tentera Lebanon pada 16 November tentang ketegangan sempadan dengan Israel.

Seorang pegawai keselamatan Lebanon berkata pembatalan itu dibuat secara “tiba-tiba serta mengejutkan” dan mendorong Jeneral Haykal agar membatalkan perjalanan tersebut.

Jeneral Haykal dijadual tiba di Washington pada 18 November untuk mesyuarat mengenai bantuan ketenteraan dan kerjasama keselamatan sempadan.

Seorang pegawai Amerika yang bercakap dengan syarat enggan namanya disiarkan, mengesahkan Amerika telah membatalkan pertemuan dengan Jeneral Haykal tetapi tidak memberikan alasan.

Pentagon tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk mengulas mengenainya.

Washington merupakan penyokong utama tentera Lebanon, yang menyediakan peruntukan lebih AS$3 bilion ($3.9 bilion) sejak dua dekad lalu dalam dasar yang bertujuan menyokong institusi di negara itu.

Selain tentera, kumpulan bersenjata yang disokong Iran, Hezbollah, juga mempunyai pengaruh yang kuat di negara itu.

Dalam kenyataan pada 16 November, tentera Lebanon menuduh Israel “berkeras untuk melanggar kedaulatan negaranya, menyebabkan ketidakstabilan dan menghalang penempatan tentera di selatan”.

Ia mengutuk “serangan terbaru” ke atas rondaan Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) dan berkata serangan Israel memerlukan “tindakan segera” daripada negara-negara sekutu kerana ia bersamaan dengan “peningkatan yang berbahaya”.

Tentera Israel menduduki lima pos di Lebanon dan kerap melancarkan serangan udara di selatan negara itu yang dikatakannya menyasarkan militan Hezbollah.

Israel dan Lebanon telah mencapai perjanjian gencatan senjata setahun lalu yang mewajibkan kumpulan Hezbollah tidak mempunyai sebarang senjata di selatan dan pasukan Israel berundur sepenuhnya dari Lebanon.

Di bawah terma gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika dan Perancis, angkatan tentera Lebanon akan merampas “semua senjata tanpa kebenaran”, bermula di kawasan selatan Sungai Litani – zon yang paling dekat dengan Israel.

Setiausaha Agung Hezbollah, Encik Naim Qassem, berkata perjanjian itu hanya terpakai di kawasan selatan Litani.

Israel menuduh Hezbollah cuba memperoleh senjata manakala pemerintah Lebanon menuduh Israel melanggar perjanjian itu dengan tidak berundur dan terus melancarkan serangan udara.

Senator Republikan Amerika, Encik Joni Ernst, berkata beliau “kecewa” dengan pendirian tentera Lebanon.

“(Mereka) merupakan rakan strategik, dan seperti yang saya bincangkan dengan ketua tentera pada Ogos, Israel telah memberi Lebanon peluang sebenar untuk membebaskan dirinya daripada militan Hezbollah.

“Daripada merebut peluang itu dan bekerjasama untuk melucutkan senjata Hezbollah, ketua tentera sebaliknya menyalahkan Israel,” tambah Ernst. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg