BEIRUT: Hezbollah pada 6 Ogos menyatakan bahawa pihaknya akan mengabaikan keputusan pemerintah Lebanon yang mahu menempatkan semua senjata di bawah kawalan negara, dan menyifatkan langkah itu sebagai satu “dosa besar” yang menggadaikan kedaulatan negara.
“Pemerintah telah melakukan dosa besar dengan mengambil keputusan untuk melucutkan senjata yang menjadi hak Lebanon dalam mempertahankan diri daripada musuh Israel,” kata Hezbollah dalam satu kenyataan rasmi. “Oleh itu, kami akan menganggap keputusan ini seolah-olah ia tidak wujud.”
Kenyataan keras itu dikeluarkan sehari selepas Perdana Menteri Nawaf Salam mengumumkan bahawa kabinet telah meminta tentera membentangkan pelan bagi memastikan semua senjata berada di bawah kawalan negara menjelang akhir tahun 2025 ini. Pelan itu dijangka dikemukakan sebelum akhir Ogos untuk dibincangkan dan diluluskan.
Langkah tersebut dibuat di tengah tekanan kuat dari Amerika Syarikat dan kebimbangan berhubung kemungkinan Israel akan meluaskan serangan ke atas Lebanon. Sejak tercapainya perjanjian gencatan senjata pada November lalu, ketegangan di sempadan terus memuncak dengan serangan udara Israel ke atas sasaran Hezbollah masih berterusan.
Menurut Hezbollah, keputusan pemerintah itu adalah hasil tekanan politik yang dikenakan oleh utusan Amerika Syarikat, Encik Tom Barrack, dan disifatkan hanya akan “menguntungkan kepentingan Israel” serta mendedahkan Lebanon kepada ancaman tanpa sebarang kuasa pencegah.
“Keputusan ini mengundang bencana kepada keselamatan dan masa depan Lebanon,” tegas kenyataan itu.
Pada hari sama, serangan udara Israel di bandar selatan Tulin menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan. Israel turut mendakwa mereka menyerang “kemudahan penyimpanan senjata, pelancar peluru berpandu dan infrastruktur militan Hezbollah”.
Hezbollah menegaskan bahawa sebarang perbincangan mengenai pelucutan senjata atau strategi keselamatan negara hanya boleh berlaku selepas serangan Israel dihentikan. “Kami bersedia berbincang, membina negara, membebaskan tanah dan membina semula kawasan yang musnah tetapi bukan dalam konteks pencerobohan,” kata kenyataan itu.
Dua menteri yang bersekutu dengan Hezbollah dan pergerakan Amal keluar daripada mesyuarat kabinet pada 5 Ogos sebagai tanda protes. Mereka menyifatkan tindakan kerajaan sebagai “penyerahan kepada kuasa asing”.
Pergerakan Amal yang diketuai oleh Speaker Parlimen Encik Nabih Berri berkata pemerintah sedang “terburu-buru membuat konsesi kepada Israel” dan menyeru mesyuarat kabinet seterusnya pada Khamis, 7 Ogis sebagai “peluang untuk membetulkan keadaan”.
Parti Lebanese Forces, salah satu parti Kristian utama dan penentang utama Hezbollah, menyifatkan keputusan kabinet sebagai “detik penting dalam sejarah moden Lebanon”, dan langkah tepat untuk mengembalikan sepenuhnya kuasa dan kedaulatan negara.
Sementara itu, bekas sekutu Hezbollah, parti Free Patriotic Movement, menyatakan sokongan terhadap tentera menerima senjata Hezbollah demi “mengukuhkan kekuatan pertahanan negara”.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dalam wawancara televisyen menegaskan bahawa keputusan pelucutan senjata akhirnya terletak pada Hezbollah sendiri. “Kami menyokong dari jauh, tetapi tidak campur tangan. Hezbollah telah membina semula kekuatannya selepas perang,” katanya.
Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, turut menegaskan dalam ucapannya ketika mesyuarat kabinet sedang berlangsung bahawa kumpulan itu tidak akan membincangkan isu senjata selagi Israel terus menyerang. Beliau mendakwa Israel melanggar syarat gencatan senjata dan hanya mahu menggagalkan kestabilan Lebanon.
Walaupun kehilangan kekuatan ketenteraan dan kepimpinan selepas konflik terakhir dengan Israel, Hezbollah masih mempunyai sokongan besar dalam kalangan komuniti Syiah di Lebanon. Perdebatan tentang pelucutan senjata kumpulan itu berisiko meningkatkan ketegangan dalam sebuah negara yang masih dibayangi trauma perang saudara 1975–1990. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg