NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memulakan rundingan pada 18 Ogos mengenai ketetapan yang digubal Perancis bagi melanjutkan misi pengaman di Lebanon dan memberi isyarat mengenai hasrat penarikan tentera PBB.
Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil), yang ditubuhkan pada 1978, mengawal sempadan selatan Lebanon dengan Israel.
Mandat untuk operasi itu diperbaharui setiap tahun, dan kebenaran semasanya tamat pada 31 Ogos.
Teks draf Perancis menunjukkan hasratnya mengusahakan penarikan Unifil dengan tujuan menjadikan pemerintah Lebanon satu-satunya penyedia keselamatan di selatan negara itu.
Ini dengan syarat pemerintah Lebanon mengawal sepenuhnya semua wilayahnya dan pihak-pihak bersetuju dengan pengaturan politik yang menyeluruh.
Di bawah aturan tersebut, yang menamatkan perang baru-baru ini antara Israel dengan Hezbollah, tentera Beirut ditempatkan di selatan Lebanon dan membongkar prasarana kumpulan militan di sana.
Lebanon telah bergelut dengan isu melucutkan senjata Hezbollah, dengan Kabinet pada Ogos menugaskan tentera supaya membangunkan rancangan untuk berbuat demikian menjelang akhir 2025.
Kumpulan yang disokong Iran itu telah menolak rancangan tersebut.
Di bawah aturan itu juga, tentera Israel perlu berundur sepenuhnya dari Lebanon, walaupun ia telah mengekalkan tentera di beberapa kawasan yang dianggapnya strategik dan terus melaksanakan serangan di Lebanon.
Tentera Israel turut berdepan dengan masalah melibatkan Pasukan Pendamai PBB.
Amerika Syarikat – anggota majlis yang menggunakan kuasa veto – memberitahu mesyuarat majlis tertutup pada 18 Ogos bahawa misi itu hanya perlu dilanjutkan untuk setahun lagi, kata seorang diplomat yang enggan namanya disebutkan.
Apabila diminta mengulas sama ada Amerika mahu menghentikan khidmat Unifil di Lebanon, jurucakap Jabatan Negara berkata: “Kami tidak mengulas mengenai rundingan Majlis Keselamatan PBB yang sedang berjalan.”
Mandat Unifil diperluas pada 2006, berikutan perang selama sebulan antara Israel dengan Hezbollah, bagi membolehkan Pasukan Pendamai PBB membantu tentera Lebanon memastikan bahagian selatan negara itu bebas daripada senjata atau anggota bersenjata selain dari negara Lebanon.
Ia telah mencetuskan pergeseran dengan Hezbollah, yang secara berkesan mengawal selatan Lebanon di sebalik kehadiran tentera negara itu.
Hezbollah ialah parti bersenjata lengkap yang merupakan kumpulan politik paling berkuasa di Lebanon.
Teks draf Majlis Keselamatan juga “mengesa masyarakat antarabangsa supaya meningkatkan sokongannya, termasuk peralatan, kebendaan dan kewangan” kepada tentera Lebanon. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg