OREBRO (Sweden): Seramai 11 orang terbunuh dalam kejadian tembakan di pusat pendidikan dewasa pada 4 Februari, kata polis Sweden.
Ia menandakan serangan senjata api paling maut di negara itu dalam apa yang disifatkan oleh perdana menteri sebagai “hari yang menyakitkan”.
Polis berkata lelaki bersenjata itu dipercayai adalah antara yang terbunuh dan usaha mencari mangsa lain sedang giat diteruskan di sekolah yang terletak di bandar Orebro itu.
Motif lelaki bersenjata melepaskan tembakan masih belum diketahui dan polis masih giat menjalankan siasatan.
“Kami tahu bahawa 10 atau lebih orang telah terbunuh. Sebab kami tidak boleh memberi angka kematian yang lebih tepat pada masa ini kerana tahap kejadian itu sangat besar,” kata ketua polis tempatan, Encik Roberto Eid Forest, kepada media.
Menurutnya, pihak polis percaya lelaki bersenjata itu bertindak bersendirian dan keganasan pada masa ini tidak disyaki sebagai motif dia melakukan jenayah berkenaan.
Menurutnya, latar belakang suspek lelaki bersenjata itu masih belum diketahui polis.
“Jenayah ini berlaku di tempat kejadian jenayah yang besar, kami perlu terlebih dahulu menyelesaikan pencarian di sekolah ini.
“Terdapat beberapa langkah penyiasatan yang kami ambil termasuk profil suspek dan temu bual saksi,” kata beliau.
Kejadian tembakan itu berlaku di Orebro, kira-kira 200 kilometer di barat Stockholm, di sekolah Risbergska untuk orang dewasa yang tidak menamatkan pendidikan formal mereka atau gagal mendapat gred untuk meneruskan pengajian tinggi.
Perdana Menteri, Encik Ulf Kristersson, menyifatkannya sebagai kejadian tembakan rambang paling buruk dalam sejarah Sweden.
Encik Ali Elmokad berada di luar Hospital Universiti Orebro, mencari saudaranya yang mungkin antara mangsa yang cedera atau yang maut.
“Rakan saya di sekolah ini kata kejadian itu sangat mengerikan. Dia lihat orang terbaring di atas lantai, cedera dan berdarah di mana-mana,” tambahnya.
Lewat pada 4 Februari, van dan anggota polis masih berada di luar sebuah bangunan pangsapuri di tengah Orebro yang telah mereka serbu sebelum ini. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg