Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Keganasan militan di Pakistan naik suku ketiga

Oct 7, 2025 | 1:58 PM
militan, serangan, Pakistan, meningkat
Anggota keselamatan memeriksa kenderaan yang rosak di lokasi letupan selepas pengeboman berani mati di Quetta, Pakistan pada 2 September 2025. - Foto AFP

ISLAMABAD: Keganasan di Pakistan telah meningkat sejak tiga bulan lalu berikutan peningkatan dalam serangan militan dan tindakan negara itu memperhebatkan operasi memerangi keganasan, kata sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Islamabad pada 6 Oktober.

Pusat Kajian Penyelidikan dan Keselamatan (CRSS) melaporkan peningkatan 46 peratus kematian, termasuk orang awam, anggota keselamatan dan militan, berbanding suku sebelumnya.

Kelihatannya 2025 berada di landasan untuk menjadi lebih maut daripada 2024 dan sekali gus menjadi tahun paling ganas dalam sedekad.

Tentera Pakistan memerangi kumpulan militan di sepanjang sempadan baratnya, dengan Taliban Pakistan di barat laut dan kumpulan pemisah Baloch di barat daya yang membelakangi sebahagian besar serangan.

Lonjakan itu mencerminkan “peningkatan keganasan militan dan skala operasi memerangi keganasan yang diperluaskan,” kata CRSS.

Serangan telah meningkat sejak pengunduran tentera yang diketuai Amerika Syarikat dari Afghanistan pada 2021, dengan pemerintah Pakistan menuduh pihak berkuasa Taliban melindungi militan – tuduhan yang mereka nafikan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran tentang “persekitaran yang mengizinkan” untuk kumpulan militan di Afghanistan melakukan serangan.

Pegawai pemerintah yang tidak mahu namanya disebut berkata pada September bahawa kehadiran militan Taliban Pakistan telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada bulan yang sama, anggota parlimen pembangkang menuduh tentera Pakistan melakukan serangan udara ke atas tempat persembunyian militan yang membunuh kanak-kanak.

Tentera tidak mengulas mengenai dakwaan berkenaan.

Majlis kampung tempatan telah berulang kali memberi amaran bahawa operasi memerangi keganasan yang menyeluruh akan membahayakan orang awam.

Terdapat 2,414 kematian dalam tiga suku pertama 2025, menghampiri 2,546 kematian yang dilaporkan pada 2024, menurut kumpulan pemikir itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Pakistan mengumumkan pada 12 Ogos bahawa mereka telah membunuh 50 militan dalam operasi selama empat hari di wilayah barat daya Balochistan, kawasan strategik yang menempatkan projek utama Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China.

Operasi itu bermula 7 Ogos lalu di daerah Zhob, yang menjadi lokasi pergerakan militan dan pemberontak pemisah yang menuntut bahagian lebih besar daripada hasil kekayaan mineral Balochistan.

Militan yang disasarkan digelar sebagai “Khwarij” - istilah yang digunakan pemerintah untuk merujuk kepada Taliban Pakistan (TTP).

“Pasukan keselamatan akan terus menjalankan operasi pencarian bagi menghapuskan baki militan yang masih bersembunyi,” kata pihak tentera. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg